Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan menyediakan bantuan kaunseling, penginapan dan logistik kepada 124 pelajar Malaysia yang dibawa pulang dari Bangladesh.

Menterinya, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, berkata KPT akan bekerjasama dengan Kementerian Luar (Wisma Putra) dengan menyediakan segala bantuan yang diperlukan ketika ketibaan rakyat Malaysia nanti.

“Sama-sama kita doakan proses evakuasi ini berjalan lancar dan semua rakyat Malaysia di Bangladesh dapat tiba di tanah air dengan selamat,” katanya menerusi kenyataan di Facebook beliau malam ini.

Beliau berkata, KPT menyambut baik dan berterima kasih atas keputusan kerajaan melalui Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Wisma Putra untuk melakukan evakuasi kepada keseluruhan rakyat Malaysia yang berada di Bangladesh susulan ketegangan yang semakin memuncak di negara itu.

“Seperti dimaklumkan oleh pihak Wisma Putra, proses membawa pulang ini akan dilakukan dalam keadaan segera dan turut membabitkan lebih 124 pelajar Malaysia yang terjejas berada di sana,” katanya.

Terdahulu siang tadi, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, misi membawa pulang 124 rakyat Malaysia termasuk pelajar di Dhaka, Bangladesh ke tanah air akan bermula awal pagi esok.

Beliau berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah memberi kelulusan supaya perancangan untuk membawa pulang rakyat Malaysia dari negara itu disegerakan.

Mohamad berkata, seramai 139 pelajar disahkan berada di Bangladesh dan 15 orang pelajar lagi telah selamat pulang.

Demonstrasi yang berlangsung sejak 1 Julai itu menyaksikan 133 orang terbunuh dalam protes membantah pengenalan semula sistem kuota perkhidmatan awam.-BH Online