Kerajaan sedang melaksanakan kajian kewajaran untuk menggubal Akta Khairat (Charities Act) serta penubuhan Suruhanjaya Khairat (Charities Commission) yang akan membantu membendung isu penyalahgunaan dana sumbangan individu atau syarikat kepada organisasi kebajikan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata kajian kewajaran terbabit diputuskan dalam mesyuarat Jemaah Kabinet sebelum ini sebagai langkah penambahbaikan terhadap Akta Pemegang Amanah (Pemerbadanan) 1952 dan Akta Pemegang Amanah 1949 yang memerlukan pindaan mendesak supaya bersesuaian dengan keperluan semasa.
Beliau berkata, kajian itu dimulakan pada 6 Mei lalu dan dijangka selesai pertengahan September depan, dengan merujuk model Akta Khairat di beberapa negara luar bagi membantu Malaysia menubuhkan akta sama.
Undang-undang itu ialah Charities Act 2011 di United Kingdom, Charities Act 1994 (Singapura), Charities Act 2005 (New Zealand) serta Australian Charities and Not-for-profits Commission Act 2012 dan Charities Act 2013 (Australia).
“Harapan kerajaan ialah rang undang-undang (RUU) ini akan mendapat kelulusan daripada Kabinet, Dewan Rakyat serta Dewan Negara setelah tersedianya kajian berkenaan,” katanya menjawab soalan Datuk C Sivaraj mengenai komitmen kerajaan dalam menggubal penubuhan Suruhanjaya Khairat, pada sesi soal jawab di Dewan Negara, hari ini.
Menjelaskan lanjut, Azalina memaklumkan bahawa mekanisme pemantauan bagi memastikan pengurusan dana adalah telus, akan ditentu berdasarkan hasil kajian yang sedang dijalankan terhadap model Akta Khairat.
“Untuk berlaku adil, sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, kita akan membuat kajian dahulu bersama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Majlis Peguam Malaysia serta agensi-agensi berkaitan supaya dapat melihat pendekatan terbaik kerana sebelum ini, memang ada niat untuk (orang ramai) memberi bantuan tetapi ada salah guna duit rakyat dan juga duit pelabur atau syarikat.
“Kita juga takut… walaupun sudah dibuat tapisan keselamatan polis serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, dana itu kadang-kadang digunakan untuk tujuan pengubahan wang haram dan dalam kes tertentu, kita tidak tahu siapa (individu atau syarikat) yang meletakkan (dana) serta apa niat sebenarnya (untuk menyumbang),” katanya. – BERNAMA