Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kementerian Digital akan membantu peniaga kecil dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang berdepan kesukaran untuk melaksanakan sistem e-Invois dijadual bermula bulan depan.

Menteri Digital, Gobind Singh Deo, berkata pihaknya akan berbincang dengan kerajaan mengenai bantuan berkenaan dan pengumuman mengenainya akan dibuat dalam belanjawan akan datang.

“Saya telahpun menerima beberapa cadangan bagaimana kita boleh bantu (peniaga) dalam proses ini. Terdapat beberapa perkara yang dibangkitkan, satu daripadanya adalah kemungkinan perniagaan kecil perlu membuat bayaran lebih untuk mendapatkan pakar untuk membantu mereka dalam proses e-Invois.

“Saya akan melihat bagaimana kerajaan dapat membantu dalam aspek ini. Namun jika kita lihat kepada impaknya secara meluas, ia dapat memudahcarakan perniagaan dan akan menjimatkan wang.

“Keduanya, jika kita menggunakan proses digital ini, ia akan menyegerakan proses berniaga. Ia juga akan menyegerakan semua transaksi yang berlaku,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Hari Terbuka Invois Kebangsaan dan Majlis Akreditasi anjuran Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), di sini, hari ini.

Yang turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Mahadhir Aziz.

Majlis itu bertujuan untuk mengiktiraf pembekal perkhidmatan Peppol serta memperkasakan pendigitalan perniagaan melalui penerimagunaan e-Invois.

Hari terbuka ini adalah sebagai satu platform untuk perniagaan meneroka pelbagai penyelesaian e-Invois di samping membantu mereka mengenal pasti kaedah yang bersesuaian bagi menyelaraskan operasi perniagaan dan meningkatkan kecekapan secara langsung. 

Majlis turut mengiktiraf kumpulan pertama yang terdiri daripada 31 Pembekal Perkhidmatan Peppol (SP) dan empat Penyedia Penyelesaian Sedia Ada Peppol (PRSP).

Mengulas lanjut, Gobind berkata, beliau berharap pelaksanaan e-Invois dapat dipandang dari sudut positif yang mana ia akan memanfaatkan perniagaan untuk jangka panjang.

“Fokuskan pada manfaat yang ia akan berikan. Mungkin terdapat cabaran di awalnya, tetapi untuk jangka panjang, anda akan dapat melihat manfaatnya.

“Perniagaan akan menjadi lebih pantas, produktiviti akan bertambah yang mana meningkatkan juga pendapatan kita,” katanya.

Sementara itu, Mahadhir berkata, sebagai ‘Peppol Authority’ yang dilantik di Malaysia, MDEC sedang giat mengakreditasi pembekal perkhidmatan untuk memudahkan operasi mereka di dalam negara. 

“Sehingga Jun 2024, MDEC telah menerima lebih daripada 150 permohonan untuk akreditasi SP dan PRSP.

“Inisiatif ini yang diformalkan melalui majlis Akreditasi membentuk asas komuniti e-Invois Malaysia dengan memanfaatkan Kerangka Peppol,” katanya.

Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) ekonomi digital diunjurkan mencecah 25.5 peratus menjelang 2025, justeru inisiatif ini dijangka meningkatkan pertumbuhan yang sekali gus memberi manfaat kepada perniagaan pelbagai saiz. 

Penggunaan e-Invois juga dijangka dapat meningkatkan sumbangan hasil cukai kepada antara 14 peratus dan 15 peratus daripada KDNK sebaik sahaja dilaksanakan sepenuhnya dalam semua perniagaan menjelang 1 Julai 2025.-BH Online