Pindaan terhadap Akta Perubatan 1971 (Akta 50) bakal menjamin penambahbaikan pada kualiti dan kuantiti pakar perubatan yang akan dilahirkan, sama ada melalui program sarjana atau ‘parallel pathway’.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata bawah Rang Undang-Undang (RUU) Perubatan (Pindaan) 2024, latihan kepakaran baharu tempatan bagi kedua-dua program berkenaan perlu dinilai dan mendapat kelulusan Majlis Perubatan Malaysia (MMC) sebelum diiktiraf.
Penilaian dijalankan berdasarkan standard yang diluluskan MMC bagi memastikan kualiti latihan kepakaran dapat dipelihara.
“Tujuan utama pindaan diharmonikan dan diatur ialah memastikan kuantiti pakar yang bakal dijana, bukan saja bagi sarjana perubatan tetapi juga laluan ‘parallel’.
“(Tujuan) kedua ialah kualiti. Ada dua jalur kepakaran, dan isu selalu ditanya ialah kualiti serta bagaimana bertemu dengan kuantiti yang mahu dijamin dengan pindaan ini,” katanya ketika berucap pada taklimat media mengenai RUU Perubatan (Pindaan) 2024 serta RUU Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pindaan) 2024 di bangunan Parlimen, hari ini.
Terdahulu, Dr Dzulkefly membentangkan RUU Perubatan (Pindaan) 2024 untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat, bertujuan memberi kuasa kepada MMC untuk mengiktiraf kelayakan serta latihan kepakaran bagi pendaftaran pengamal perubatan dan pakar.
Pindaan ke atas perenggan 4a(2)(h) itu adalah sebahagian daripada Fasal 4 RUU berkenaan yang secara umum bertujuan meminda Akta Perubatan 1971 bagi menambah baik peruntukan mengenai pendaftaran pengamal perubatan sebagai pakar serta bagi melaksanakan proses pengiktirafan kelulusan dan latihan kepakaran.
Sementara itu, Dr Dzulkefly menafikan dakwaan segelintir pihak bahawa Kementerian Kesihatan (KKM) bersikap berat sebelah dengan tidak memberi penekanan kepada program sarjana perubatan di institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan berbanding ‘parallel pathway’.
Dalam tempoh lima tahun dari 2019 hingga 2023, sebanyak RM365.4 juta (96 peratus) dibelanjakan untuk pegawai perubatan KKM mengikuti latihan kepakaran peringkat sarjana di universiti awam, berbanding RM13 juta (empat peratus) untuk ‘parallel pathway’.
Tahun ini saja, peruntukan itu dinaikkan, iaitu sebanyak RM152.4 juta dengan RM142.4 juta adalah bagi program sarjana.
“Apapun persepsi (mendakwa) kita memberi kepentingan kepada program antarabangsa, ‘parallel pathway’… dari sudut kewangan pun jelas, ia jelas tidak begitu,” katanya.-BH Online