Tiga hospital baharu akan dibangunkan di Sarawak yang akan menyediakan hampir 1,000 katil dalam tempoh lima tahun akan datang.
Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg, berkata hospital berkenaan dimiliki kerajaan Sarawak, tetapi akan diuruskan oleh pihak swasta.
Beliau berkata, hospital milik kerajaan Sarawak itu memiliki 300 katil dan akan dilengkapi kemudahan kawasan komersial serta hotel bagi memudahkan keluarga pesakit dari luar Sarawak mendapatkan penginapan berdekatan hospital.
“Satu lagi hospital swasta iaitu di Tabuan Jaya akan dibangunkan oleh pelabur Singapura juga akan memiliki 300 katil, manakala satu lagi akan dibina di Batu Lintang, juga 300 katil,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan pada Majlis Makan Malam Persidangan Kesihatan Awam Asia Pasifik Ke-8 (8th APCPH) di sini, malam ini.
Abang Johari berkata, pembinaan hospital swasta itu bukan sahaja bagi menampung keperluan penduduk Sarawak, namun sasarannya untuk rakyat dari luar terutama negara jiran yang mahu mendapatkan rawatan berkualiti dengan kos berpatutan.
“Sebab itu kita (kerajaan Sarawak) membuat pelaburan dalam penjagaan kesihatan ini yang dalam tempoh lima tahun akan datang, hospital swasta ini memberikan kita tambahan kita-kira 1,000 katil untuk kemudahan pesakit.
“Jika kita membina banyak hospital, tidak ramai yang menggunakan perkhidmatannya. Tiada gunanya juga. Sebab itu kerajaan Sarawak akan memiliki syarikat penerbangan sendiri untuk memudahkan pesakit dari luar Sarawak mendapatkan rawatan.
“Lebih-lebih lagi dengan pembangunan ibu kota baharu Indonesia di Kalimantan. Penerbangan hanya mengambil masa 20 minit dari Nusantara ke Kuching,” katanya.
Menurutnya lagi, statistik menunjukkan setiap hari ramai rakyat Indonesia mendapatkan rawatan di lima hospital swasta sedia ada iaitu Pusat Perubatan Normah, dua Hospital KPJ, Pusat Perubatan Borneo dan Hospital Pakar Timberland.