Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kerajaan mengambil risiko politik yang besar ketika memutuskan untuk melaksanakan rasionalisasi subsidi menyeluruh termasuk membabitkan bahan api, kata Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.

Katanya, langkah berani dalam penyasaran subsidi yang tertangguh oleh kerajaan terdahulu, bagaimanapun kurang popular kepada rakyat.

“Kami melihat apa yang perlu dilakukan (rasionalisasi subsidi) ini adalah risiko politik yang besar. Kerajaan melihat keperluan untuk terus melihat semula subsidi menyeluruh kami.

“Bahan api kami antara paling murah di dunia di mana sebelum ini hanya AS$0.50 seliter, justeru untuk peralihan kepada tenaga hijau adalah sukar. Justeru, kami memerlukan satu pembaharuan untuk membuatkan rakyat mempertimbangkan kepada peralihan tenaga hijau,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi ahli panel dalam sesi ‘The Opportunity of Managing Energy Demand’ bersempena persidangan Annual Meeting of the New Champions (AMNC) yang dianjurkan oleh World Economic Forum di Dalian, China.

Sementara itu, Rafizi berkata, Malaysia akan memainkan peranan sebagai pengerusi ASEAN tahun hadapan dengan memberi keutamaan kepada projek grid tenaga bersepadu rantau ini.

Beliau berkata, dengan mengambil pendekatan serantau yang meletakkan langkah melindungi kaedah peralihan, ia bakal menjadikan pasaran tenaga sebagai standard berdasarkan pengurusan permintaan tenaga dan peralihan ke arah penyahkarbon.

Katanya, Malaysia melihat rantau ASEAN agak sesuai untuk integrasi serantau, namun kita berdepan masalah dengan grid tenaga memandangkan semua negara memiliki kapasiti grid yang berbeza.

“Apabila Malaysia mempengerusikan ASEAN tahun hadapan, antara projek utama adalah memastikan kita dapat bergerak ke arah grid bersepadu ASEAN.

“Aspek yang sangat penting juga adalah untuk menyediakan ekosistem penuh untuk penyahkarbonan. Dan untuk itu kami memberi banyak penekanan kepada Undang-Undang Pemerangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon (CCUS) yang dilihat sebagai sebahagian daripada pendekatan menyeluruh untuk menguruskan peralihan daripada tenaga konvensional kepada tenaga boleh diperbaharui (RE),” katanya.

Beliau menjelaskan, dengan pengenalan CCUS pada separuh pertama 2025, Malaysia boleh meletakkan sasaran untuk menjadi hab global, tetapi dalam masa sama melindungi kepentingan pemegang taruh.

“Namun, apa yang lebih penting, ia juga perlu mengambil perspektif yang lebih serantau untuk perkara ini dan bukannya setiap negara melihat peralihan tenaga untuk kebaikan sendiri semata-mata,” katanya.

Dalam pada itu, Rafizi berkata, Malaysia memperoleh sekitar 300 peratus pelaburan tambahan dalam sektor RE, selepas kerajaan melancarkan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) setahun lalu.

“Bagi mengimbangi kemasukan pelaburan itu, amat penting bagi kerajaan untuk memiliki dasar dan infrastruktur keseluruhan yang holistik seterusnya meningkatkan bekalan RE tempatan dalam tempoh dua atau tiga tahun akan datang.

“Apabila memiliki kapasiti yang mencukupi, Malaysia boleh mula bergerak ke arah pendekatan yang lebih bersifat serantau untuk melindungi aspek kelestarian,” katanya.-BH Online