Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Acara pembukaan Sukan SEA 2027 perlu diadakan di Kuching.

Itu antara syarat yang ditetapkan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg, apabila Putrajaya meminta Sarawak untuk menjadi hos bersama sukan terbesar Asia Tenggara itu.

Abang Johari berkata, dalam pertemuan beliau dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim di ibu negara baru-baru ini, Perdana Menteri secara tidak rasmi mempelawa Sarawak untuk bersama menganjurkan temasya dwitahunan itu.

Malah sebelum itu katanya, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh juga menyatakan perkara sama kepada Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah.

“Kerajaan Persekutuan sudah ‘merisik’ sama ada Sarawak boleh menjadi hos bersama Sukan SEA kerana memang giliran Malaysia untuk menganjurkannya pada 2027.

“Mereka (Persekutuan) mengemukakan cadangan itu kerana kos penganjuran Sukan SEA agak besar iaitu dianggarkan mencecah RM750 juta dan saya pun secara tidak rasmi, sudah menyatakan persetujuan Sarawak bersedia menerima pelawaan itu, tetapi dengan syarat upacara pembukaannya harus dilaksanakan di Kuching dan sebahagian acara juga diadakan di Sarawak sebagai ‘hantaran’ kepada lamaran mereka, manakala majlis penutupan pula di Kuala Lumpur,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Larian Baton Sukan Malaysia Ke-21 (SUKMA XXI) Bahagian Kuching di Tebingan Kuching, di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah serta Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Seri Fatimah Abdullah.

Mengulas lanjut, Abang Johari berkata, Sarawak bersetuju untuk menjadi hos bersama Sukan SEA 2027 kerana pembangunan belia, mencungkil bakat sukan dan memupuk kecergasan terkandung di dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) yang dirangka kerajaan Sarawak.

“Ada yang bertanya kenapa Sarawak sanggup menjadi hos bersama Sukan SEA 2027 dan saya kata kerana ia adalah antara agenda PCDS 2030 iaitu mencungkil bakat kalangan belia.

“Bakat yang kita maksudkan bukan sahaja dalam pembangunan ekonomi tetapi juga sukan dan kita mahu orang muda sentiasa cergas dan inilah salah satu proses untuk kita menanam kecergasan menjadi amalan kalangan belia.

“Kecergasan wujud daripada sukan dan depan kita bergantung kepada belia yang cergas untuk menjamin masa depan kita cerah dan inilah antara strategi pembangunan insan yang kita laksanakan,” katanya.

Larian Baton SUKMA XXI Sarawak 2024 bermula di Limbang pada 27 April lalu dan kemudian melalui Miri, Bintulu, Sibu, Mukah, Sri Aman, Betong, Kota Samarahan, Serian sebelum berakhir di Kuching hari ini.

SUKMA XXI yang akan berlangsung pada 17 hingga 24 Ogos bakal menyaksikan jumlah terbesar acara dipertandingkan iaitu 488 acara daripada 37 jenis sukan.

Selesai SUKMA XXI, Para SUKMA XXI Sarawak 2024 pula akan menyusul pada 22 hingga 28 September dengan 10 acara akan dipertandingkan.-BH Online