Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bercadang meminda beberapa peruntukan dalam Akta SPRM 2009 antara lain bagi membolehkan kerajaan memperoleh semula dana yang diseleweng.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, berkata ia membabitkan penambahbaikan beberapa perkara, termasuk perjanjian penangguhan pendakwaan (DPA) bagi mewujudkan kaedah ‘penyelesaian’ dalam kes liabiliti korporat.
“Kita berpandangan kes sedemikian tidak perlu melalui prosiding mahkamah yang agak panjang. Kes di United Kingdom di mana perusahaan mega seperti Rolls Royce yang membabitkan dana berskala besar boleh menjadi panduan.
“Pendakwaan ke atas organisasi terbabit ditangguhkan selepas siasatan selesai, ada sistem pemantauan untuk memastikan mereka mematuhi setiap prosedur ditetapkan,” katanya menjelaskan prosedur iu bertujuan mendapatkan semula dana yang diseleweng.
Jimat kos prosiding
Menjelaskan demikian ketika menjadi tetamu audio siar Beyond the Headlines kendalian New Straits Times (NST), beliau berkata, kos bagi prosiding kes yang mungkin berlarutan beberapa tahun mampu dijimatkan walaupun mengakui penting melakukan pendakwaan ke atas penjenayah.
“Inisiatif ini antara lain mampu menjimatkan tempoh untuk mendapatkan semula dana yang diseleweng menerusi saluran perundangan sedia ada,” katanya.
Pada 30 September lalu, SPRM dilaporkan mengkaji untuk memperkenalkan DPA ke atas individu yang didakwa, bertujuan membolehkan kes terbabit digantung bagi suatu tempoh ditetapkan supaya kerajaan berupaya memperoleh semula dana diselewengkan.
Selain DPA, Azam memaklumkan, SPRM juga bercadang memperkenalkan undang-undang yang mampu menghukum penjawat awam yang mengakibatkan kerajaan berdepan kerugian dalam pendapatan.
“Hong Kong ada peruntukan sedemikian dan SPRM meneliti tahap keberkesanannya. Inilah antara beberapa inisiatif yang sedang dipertimbangkan, tetapi semuanya akan mengambil masa.
“Kita perlu melaksanakan kajian dan tinjauan dengan proses berkenaan mungkin mengambil masa hingga tiga tahun,” katanya.-BH Online