Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Malaysia dan Turkiye hari ini senada untuk meningkatkan bantuan kemanusiaan ke Gaza, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata demikian selepas beliau menerima panggilan daripada rakan sejawatnya, Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdoğan.

Katanya, Presiden Turkiye itu turut berkongsikan pengalamannya dalam menyatakan kebimbangan serta protes kepada pembunuhan beramai-ramai di Gaza pada Sidang Kemuncak G7 di Itali yang dihadirinya, baru-baru ini.

“Kesempatan yang ada juga kami gunakan untuk mengulangi komitmen dalam mengukuhkan kerjasama dalam pertahanan, ekonomi, budaya, perdagangan, pelaburan antara kedua-dua negara,” katanya.

Katanya, menerusi panggilan itu, selain berharap hubungan kedua-dua negara terus diperkukuh, mereka berdua turut berbalas ucapan Eid Mubarak.

Anwar berkata, beliau juga mengulangi jemputan kepada Erdogan untuk melawat Malaysia pada Julai atau Ogos tahun ini.

“Saya memberi jaminan lawatan ini akan menjadi lebih bermakna kerana ia seiring ulang tahun ke-60 penubuhan hubungan diplomatik antara Malaysia dan Türkiye pada 17 Jun 1964 serta Perkongsian Strategik 10 Tahun antara kedua-dua negara,” katanya.-BH Online