Malaysia yang akan menjadi Pengerusi ASEAN tahun depan, akan memberi tumpuan mengukuhkan kerjasama ekonomi di kalangan negara anggota pertubuhan itu, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, Malaysia akan terus memperjuangkan cita-cita negara di rantau berkenaan.
“Berkaitan ekonomi, tumpuan kita adalah untuk mengukuhkan kerjasama ekonomi di kalangan negara anggota ASEAN.
“Saya mengulangi perkara ini dan kita perlu melakukan lebih banyak lagi walaupun sudah berjaya mengekalkan hubungan diplomatik, hubungan dua hala yang baik secara individu, dan di peringkat sub-serantau dan ASEAN.
“Banyak lagi yang kita boleh dan harus (lakukan) dengn bekerjasama bagi meningkatkan keupayaan kita. Ini termasuk meningkatkan kapasiti bagi menarik pelaburan dan perdagangan untuk menjadi blok serantau yang penting,” katanya menerusi kenyataan di platform X hari ini.
Anwar juga menyatakan komitmen untuk meneruskan pelaburan dan perdagangan bersama Jepun dalam usaha menjadikan Malaysia antara pemacu ekonomi penting ASEAN.
Perdana Menteri berkata, Jepun sudah mempunyai peranan penting dalam ekonomi Malaysia ke hadapan sewaktu era 1970 an dan 1980 an, terutamanya sewaktu ledakan transformatif pembuatan negara.
Oleh demikian, beliau berkata, Malaysia boleh melakukan lebih daripada apa yang sudah dilaksanakan, termasuk dalam pengukuhan ekonomi negara ASEAN.
“Melalui komitmen yang tidak berbelah bahagi dalam kerjasama, komuniti, kemakmuran dan keamanan, kita boleh menjalin masa depan yang lebih cerah untuk ASEAN dan komuniti Asia yang lebih luas,” katanya.-BH Online