Malaysia akan terus memperkukuh kerjasama menerusi hubungan dua hala dengan Turkiye dan Mesir dalam usaha meningkatkan pasaran minyak sawit negara di rantau berkenaan.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, berkata Malaysia juga komited untuk menyediakan bekalan berterusan minyak sawit berkualiti tinggi dan mampan yang diperakui standard pensijilan tempatan, Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO).
Pada masa sama, katanya, kerajaan akan memastikan Mesir terus menjadi rakan dagang utama bagi pasaran komoditi itu susulan hasrat menerokai potensi pertumbuhan minyak sawit di Afrika Selatan dan Asia Barat.
“Mesir mempunyai kepadatan penduduk kira-kira 105 juta orang dan menggunakan kira-kira 1.2 juta tan minyak sawit setiap hari.
“Saya yakin lokasi geografi Mesir yang strategik berupaya meningkatkan kemakmuran ekonomi bagi Malaysia.
“Secara khusus, kami membincangkan peluang menarik untuk pemain dalam industri minyak sawit Malaysia di Zon Ekonomi Terusan Suez, yang menjadi antara laluan perdagangan terpenting di dunia,” katanya menerusi kenyataan di platform X, hari ini.
Johari mengetuai delegasi Malaysia ke Mesir dan Turkiye bagi lawatan kerja pada 27 Mei hingga 1 Jun lalu.
Bob Dalam lawatan itu, beliau bertemu dengan Menteri Bekalan dan Perdagangan Dalam Negeri Mesir, Dr Ali El Moselhy; Menteri Perdagangan dan Perindustrian Mesir, Ahmed Samir; dan Menteri Perdagangan Turkiye, Prof Dr Omar Bolat.
Dalam pertemuan dengan Omar, Johari turut membincangkan kerjasama untuk mengukuhkan hubungan dua hala serta berkongsi inisiatif dan kemajuan Malaysia dalam mematuhi keperluan kemampanan global.
Johari turut berkongsi penyelesaian beberapa isu tertunggak yang dihadapi pemain industri dari kedua-dua negara.
“Saya juga menyampaikan jemputan kepada Omar untuk membuat lawatan ke Malaysia dalam masa terdekat bagi melihat usaha kerajaan dalam memenuhi permintaan global bagi minyak sawit yang mampan serta meneroka peluang selanjutnya untuk meningkatkan perdagangan antara dua negara.
“Malaysia berharap untuk terus bekerjasama bagi memastikan hubungan perdagangan ini saling menguntungkan bagi kedua-dua negara,” katanya.-BH Online