Prosedur operasi standard (SOP) Perlombongan Unsur Nadir Bumi Bukan Radioaktif (NR-REE) akan dikeluarkan dalam tempoh terdekat kata Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad.
Beliau berkata, ketika ini SOP itu sudah siap dan pihaknya sedang menyiapkan pelan yang meliputi pembangunan NR-REE dari peringkat perlombongan sehingga peringkat hiliran.
“Perbincangan yang dimaklumkan sebelum ini di antara Kementerian Ekonomi; Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri; Kementerian Perladangan dan Komoditi serta Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) sudah diadakan.
“Susulan itu, satu kertas Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) akan dibawa dibawa ke Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) dalam masa terdekat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Sesi Dialog Bersama Belia dan Majlis Pelancaran Program
Latihan Kendiri Dalam Talian – Green Technology and Climate Change Essentials di Karnival Pekerjaan Hijau di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, semalam beliau juga sudah melawat satu tapak projek rintis NRE-REE di Mukim Kenering, Hulu Perak, Perak.
“Saya lihat sendiri apa yang mereka lakukan di sana dan antara yang saya tekankan memang kita rasa NRE-REE ini akan memainkan peranan penting terutama soal peralihan tenaga dan juga dapat memastikan perlombongan dibuat secara bertanggungjawab kepada alam sekitar.
“Jadi kita akan lihat dan pantau (projek ini) secara dekat,” katanya.
Ditanya sama ada SOP itu perlu dibentangkan di peringkat Parlimen, beliau berkata perkara itu tidak membabitkan pembentangan di Parlimen namun beliau secara berterusan menjawab mengenai isu itu apabila ada pertanyaan.
“Projek ini bermula dari kerajaan sebelum ini lagi. Jadi saya yakin semua sedia maklum dan ada minat dari pelbagai negeri tetapi yang kita tekankan adalah pematuhan.
“Ada beberapa kes kecurian NRE-REE atau perlombongan secara haram berlaku di beberapa negeri tetapi sudah diambil tindakan oleh pihak berkuasa.
“Ada beberapa laporan baharu juga kita terima namun itu kita akan menyusuli dan berbincang dengan pihak berkuasa,” katanya.
Sementara itu mengulas mengenai Karnival Pekerjaan Hijau oleh NRES melalui Malaysian Green Technology and Climate Change Corporation (MGTC), katanya program itu menawarkan 30 program latihan berkaitan pengurusan tenaga dan amalan industri hijau.
Katanya, program yang diadakan menerusi Akademi Greentech itu bertujuan melahirkan tenaga kerja mahir bagi sektor teknologi hijau.
Selain itu katanya, program anjuran secara berkala oleh MGTC itu turut membabitkan 50 rakan kongsi korporat dan agensi kerajaan termasuk Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
“Karnival ini turut mempromosikan portal pekerjaan hijau menerusi greenjobsmalaysia.my yang boleh diakses secara percuma dan ketika ini terdapat sebanyak 962 syarikat yang menyenaraikan sebanyak 10,915 pekerjaan menerusi portal ini.
“Usaha ini adalah salah satu komitmen NRES dalam menyokong inisiatif pembangunan kemahiran bagi sektor teknologi hijau selaras dengan sasaran negara di bawah Pelan Induk Teknologi Hijau 2017-2030 (GTMP) dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR),” katanya.-BH Online