Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Tabung Kasih@HAWANA yang diwujudkan sempena sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) menerima suntikan RM1 juta bagi meringankan beban petugas media yang mengalami keuzuran atau memerlukan bantuan.

Penyaluran dana itu diumum Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap pada Kemuncak HAWANA 2024 di Hotel Waterfront di sini, hari ini.

Perdana Menteri berkata, ia adalah tambahan kepada dana RM1 juta yang disalurkan pada HAWANA tahun lalu.

“Saya ingin mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM1 juta untuk Tabung Kasih@HAWANA pada 2025 bagi membolehkan lebih ramai veteran dan pengamal media yang mengalami kesempitan hidup dan ditimpa keuzuran dibantu,” katanya.

Turut hadir, Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg; Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil; Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi; Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian serta Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional (BERNAMA), Datuk Seri Wong Chun Wai.

Tabung Kasih@HAWANA diperkenalkan Kementerian Komunikasi menerusi BERNAMA tahun lalu bagi membantu wartawan veteran dan pengamal media yang berdepan masalah kesihatan dan kesempitan hidup. 

Setakat ini, seramai 102 orang pengamal media dijejaki dan dibantu menerusi tabung berkenaan.

Perdana Menteri turut mengumumkan peruntukan RM1 juta kepada Pusat Latihan Kecemerlangan BERNAMA, khusus bagi menganjurkan kursus dan latihan berkaitan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) untuk pengamal media.

HAWANA 2024 yang juga perhimpunan terbesar wartawan Malaysia dengan tema ‘Etika Teras Kewartawanan Mapan’ berlangsung buat pertama kali di luar Semenanjung.

Ia dihadiri kira-kira 1,000 pengamal media termasuk dari Kemboja, Indonesia, Jepun, Kuwait, Brunei, Filipina, Timor-Leste, Vietnam, China, Korea Selatan, Qatar dan Perancis.

HAWANA tahun ini ialah penganjuran edisi keempat selepas diperkenalkan di ibu negara pada 2018, Melaka (2022) dan Perak (2023).-BH Online