Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Polis Diraja Malaysia (PDRM) memerlukan lebih masa untuk menyiasat dengan teliti lima ahli keluarga suspek serangan Balai Polis Ulu Tiram, di sini, 17 Mei lalu.

Sehubungan itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata itu adalah justifikasi penahanan lima ahli keluarga suspek berkenaan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA), mulai Jumaat lalu.

Beliau berkata, perbuatan membunuh anggota PDRM adalah kesalahan sangat serius dan perlu siasatan rapi terutama motif serangan berdarah itu.

“Apatah lagi Singapura mengambil langkah memperketatkan kawalan keselamatan pintu masuk republik berkenaan susulan insiden itu, jadi kita harus peka dan sensitif mengenai itu.

“Beberapa akta yang kita guna pakai misalnya pada peringkat awal penahanan, kita guna kanun keseksaan dan tempoh tahanan (mengikut akta itu) belum dapat menyelesaikan semua urusan (siasatan).

“Berdasarkan magnitud (serius) kes ini, jadi pasukan polis memerlukan tempoh yang lama untuk menyempurnakan siasatan bagi memastikan isu keselamatan dan keamanan rakyat terjamin,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Menangani Kesesakan Tambak Johor, di BSI, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof dan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Terdahulu, Saifuddin ditanya justifikasi penahanan lima ahli keluarga suspek kejadian serangan di Balai Polis Ulu Tiram mengikut SOSMA.

Jumaat lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dilaporkan berkata, lima keluarga suspek serangan Balai Polis Ulu Tiram ditahan mengikut SOSMA, selepas tempoh reman tamat 24 Mei lalu.

Mengikut SOSMA, polis Cawangan Khas akan menjalankan siasatan manakala Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) juga akan meneruskan siasatan berkait Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Akta Senjata Api.

Pada 17 Mei lalu, tujuh individu termasuk lima ahli keluarga suspek berusia lingkungan 19 hingga 62 tahun ditahan bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Dua penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) turut dilaporkan ditahan reman selepas disyaki mempunyai kaitan terhadap serangan itu pada hari yang sama, selepas serangan itu.

Bagaimanapun, dua penuntut IPT yang dibebaskan tanpa syarat, Rabu lalu.

Dalam kejadian serangan pada pukul 2.54 pagi 17 Mei lalu, dua anggota polis Allahyarham Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22, dan Allahyarham Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24, terkorban manakala suspek berusia 21 tahun mati ditembak.

Tragedi itu turut mencederakan Koperal Mohd Hasif Roslan, 38, terkena tembakan pada bahu dan pinggul, namun kini stabil.-BH Online