China kekal sebagai jiran yang penting kepada Malaysia, kata Perdana Menteri.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia tidak mempunyai sebarang isu dengan gergasi ekonomi itu.null
Menjawab sama ada Amerika Syarikat (AS) cuba untuk menentukan apa-apa berkaitan hubungan Malaysia dengan China, Anwar berkata, perkara itu sudah dijelaskan.
“Kita menjelaskan bahawa China adalah jiran yang penting dan kita tidak mempunyai masalah dengan mereka.
“Saya fikir adalah menjadi kewajipan, bukan sahaja Malaysia tetapi ASEAN, untuk berdikari dan mematuhi prinsip berkecuali serta melakukan yang terbaik untuk memberi tumpuan kepada pembangunan ekonomi bagi meningkatkan perdagangan dan pelaburan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada temu bual ‘Talk To Al Jazeera’, yang disiarkan pagi tadi.
Anwar yang juga Menteri Kewangan, berkata, AS tidak secara terbuka meminta Malaysia mengurangkan kepentingan hubungannya dengan China.
“Saya tahu ada perutusan, tetapi kita tidak akan bertindak balas terhadapnya, kerana AS secara kumulatif masih pelabur terbesar di Malaysia dan pelaburan baharu masih masuk.
“Bukan berat sebelah memihak atau menentang mana-mana negara,” tambahnya.
Ketika wawancara itu, Anwar berkata tuntutan kedaulatan China ke atas Laut China Selatan adalah satu isu, tetapi bukan perkembangan yang tegang.
Katanya, walaupun satu atau dua negara ASEAN menimbulkan beberapa kebimbangan, Malaysia terus menggunakan mekanisme dua hala untuk berbincang dan berunding.
“Kita mempunyai masalah (dari semasa ke semasa) dengan semua jiran kami, maksud saya dari segi kedudukan sempadan, tetapi kita sedang berunding dengan mereka… sempadan dengan Thailand, Singapura, Brunei, dan dengan Indonesia. Sabah serta Filipina. Tetapi ia tidak tegang.
“Ia adalah perbincangan dan rundingan sivil, teratur, dan saya fikir ia akan berterusan. ASEAN adalah kuasa yang sangat kuat, padu,” katanya.-BH Online