Polis memberi jaminan sentiasa memantau bekas anggota kumpulan terancang atau militan yang pernah ditahan sebelum ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga sentiasa memastikan proses rehabilitasi golongan itu berjalan sekali gus tidak menjadi ancaman kepada masyarakat.null
“Saya nak yakinkan masyarakat, polis ada pengalaman uruskan (insiden serangan) berdasarkan profil pangkalan data lengkap menerusi corak serangan.
“Pangkalan data polis yang ada sejak 217 tahun lalu, memadai untuk kita uruskan insiden begini (serangan).
“Ia kerana kita ada latar belakang (bekas anggota) yang dulu pernah terbabit dengan kegiatan (militan), ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) dan kemudian dilepaskan. Polis ada pendekatan bagi memantau mereka.
“Kita jangan (membuat spekulasi) berlebihan. Serangan Balai Polis Ulu Tiram dilakukan suspek bersendirian. Don’t go beyond that point (ancaman militan termasuk Jemaah Islamiyah),” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Polis Johor, hari ini.
Hadir sama, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dan Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar.
Dalam pada itu, Saifuddin berkata Malaysia tidak berhasrat meluaskan skop siasatan membabitkan rangkaian militan antarabangsa atau pihak berkuasa rantau ini.
“Kita tak berhasrat berbuat begitu. Skop siasatan hanya membabitkan insiden berkenaan,” katanya.-BH Online