Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh akan menyampaikan ucapan di Persidangan Kepimpinan Wanita Antarabangsa – Menyokong Wanita dan Kanak-Kanak Palestin di Qatar yang bermula hari ini hingga 13 Mei.

Program berkenaan adalah anjuran Global Women’s Coalition for Al Quds and Palestine, sebuah pertubuhan peringkat antarabangsa yang menyokong kesatuan pemimpin global dalam memberi sokongan kepada wanita dan kanak-kanak Palestin.

“Kehadiran Timbalan Menteri itu yang akan berkongsi melalui ucapan beliau, mencerminkan komitmen Malaysia selaku negara yang menyokong Palestin untuk bersama-sama pemimpin wanita global lain bertukar pandangan, mencari kaedah penyelesaian terhadap konflik di Palestin, terutama dalam kalangan wanita dan kanak-kanak.null

“Ia juga bagi menyatakan usaha berterusan Malaysia di arena global dalam menangani isu pencerobohan di Palestin,” menurut kenyataan daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Selain itu, Fuziah akan turut melancarkan satu inisiatif solidariti bersama Wanita Gaza yang dijenamakan oleh beliau iaitu “Women to Women & Women for Women Initiative” (W2W:W4W) untuk wanita dan anak gadis Gaza berbentuk beg “pouch” kebersihan wanita untuk kegunaan, terutama ketika haid.

Antara kandungan kit kebersihan wanita berkenaan ialah tuala wanita yang dibuat daripada kain kapas lembut yang boleh dibasuh serta sabun khas selain barang-barang keperluan kebersihan lain.

Kenyataan itu memaklumkan projek W2W:W4W itu diuruskan dari awal hingga akhir oleh Yayasan MADANI iaitu sebuah yayasan berdaftar di Malaysia, dengan Fuziah adalah pengasas dan pengerusi yayasan berkenaan.

Projek itu berjaya menggembleng tenaga wanita daripada golongan pendapatan rendah untuk menjahit tuala tersebut dan penerimanya juga wanita.

Menurut kenyataan itu, Fuziah juga akan menjalankan tugas KPDN, antaranya melawat program bank makanan yang di Doha sambil bertukar fikiran untuk menambah baik program bank makanan di Malaysia.

Di samping itu, Fuziah juga berhasrat untuk membuat lawatan ke rangkaian pasar besar di Doha yang wujud di Malaysia untuk meningkatkan lagi kerjasama strategik yang telah wujud antara KPDN dan pasar besar berkenaan. –BERNAMA