Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Majlis Kerjasama ASEAN-Teluk (ASEAN-GCC) perlu mencari mekanisme bagi memajukan perdagangan, pelaburan, kerjasama dan penyelidikan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketika berucap pada Dialog Strategi Serantau Bersama mengenai ASEAN-GCC di luar Mesyuarat Khas Forum Ekonomi Sedunia (WEF) di sini hari ini, beliau berkata kerjasama antara kedua-dua pihak adalah saling menguntungkan.

“Kita (ASEAN) bukan sahaja mengalu-alukan penglibatan GCC dari segi pelaburan dan kerjasama tetapi juga lebih banyak syarikat ASEAN untuk turut aktif di sini (Arab Saudi), di UAE (Emiriah Arab Bersatu), Qatar dan negara-negara jiran,” katanya.null

Memandangkan Asia Tenggara tampil sebagai antara rantau paling pesat berkembang, Anwar berkata negara anggota ASEAN perlu mengambil pendekatan yang lebih pragmatik untuk membincangkan hubungan dua hala mahupun pelbagai hala dalam kalangan jiran mereka.

“Kita telah menjadi rakan kongsi yang amat baik, kita saling bekerjasama, kita berbincang secara terus terang serta menetapkan keutamaan dengan betul dan kita turut mempertimbang beberapa isu baharu muncul yang merupakan cabaran kepada kita seperti peralihan tenaga, transformasi digital dan keterjaminan makanan,” kata beliau.

Anwar juga berkata, Asia Tenggara amat bernasib baik kerana menjadi antara rantau paling aman dan krisis di Myanmar adalah satu-satunya masalah yang belum dapat diselesaikan.

Bagaimanapun, katanya, ASEAN mempunyai pendirian yang jelas berhubung krisis itu dan menegaskan bahawa Konsensus Lima Perkara adalah asas bagi menanganinya.

“Kami turut memberi peluang kepada negara-negara jiran iaitu Thailand dan Laos untuk membabitkan diri secara diam-diam dengan Myanmar ke arah mencari penyelesaian secara aman,” katanya.

Perdana Menteri turut menekankan tahap kesepaduan yang dimiliki ASEAN dan berkata beliau akan terus mempromosi rantau itu secara agresif apabila Malaysia mengambil alih jawatan pengerusi tahun depan.

“Sudah tentu negara anggota adalah negara yang merdeka tetapi apabila kita bercakap, kita akan bercakap bagi pihak semua orang.

“Saya menganggap semua pihak akan bersetuju susulan perbincangan meluas sesama kita berhubung beberapa isu dan kerjasama yang menjadikan kita agak selesa,” katanya.

Sidang kemuncak sulung ASEAN-GCC yang berlangsung di Riyadh tahun lalu bersetuju mengadakan persidangan setiap dua tahun dengan yang seterusnya di Malaysia pada 2025.– BERNAMA