Kerajaan Pulau Pinang akan bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan untuk meneruskan usaha menarik pelaburan dalam sektor semikonduktor, termasuk segmen reka bentuk litar bersepadu (IC) di negeri itu.
Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata Pulau Pinang juga akan meneruskan pelbagai pelaburan untuk melengkapkan ekosistem dan rangkaian bekalan, kerana bidang semikonduktor amat luas malah melibatkan banyak sektor kecil seperti IC.
“Tambahan pula Kerajaan Persekutuan kini sedang usahakan Pelan Strategik Semikonduktor dan saya dengar ada rancangan untuk mengkhususkan negeri-negeri kepada sektor-sektor kecil yang berkenaan, kita tidak perlu bersaing dengan negeri-negeri tetapi lihat sektor ini dalam konteks negara.
“Jadi, kita perlu lihat apa cadangan Pelan Strategik Semikonduktor yang dijangka diumumkan Mei nanti, kita akan lihat apakah peranan yang ditugaskan kepada Pulau Pinang dan saya percaya negeri ini ada ekosistem yang paling lengkap di Malaysia ini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau ditemui selepas menghadiri Majlis Jamuan Tengah Hari Amal Hari Raya Aidilfitri anjuran Kor Konsulat Kehormat Malaysia, yang turut dihadiri Yang Dipertua Negeri Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak dan isteri Toh Puan Khadijah Mohd Noor serta barisan konsulat di Pulau Pinang.
Chow berkata demikian bagi mengulas saranan bekas Menteri Kewangan Lim Guan Eng yang berpandangan bahawa Pulau Pinang seharusnya belajar daripada kejayaan Selangor, untuk menubuhkan sebuah Taman Pemacu Industri Semikonduktor dan Reka Bentuk Litar Bersepadu.
Sehubungan itu, Chow berkata pihaknya akan mengatur pertemuan dengan Lim yang juga bekas Ketua Menteri, serta Invest Penang dan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) bagi mendengar cadangan mengenai taman IC di Pulau Pinang.
Semalam, tiga syarikat semikonduktor baharu iaitu China Wafer Level CSP Co (WLCSP), Ningbo SJ Electronics Co (SJE) dan Wuxi AMTE Inc (AMTE), menyatakan minta untuk melabur di Pulau Pinang dengan melibatkan jumlah pelaburan sebanyak US$100 juta.
Mengulas mengenai isu tarif air pula, Chow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Tanah dan Ekonomi berkata kenaikan tarif air di negeri itu, terletak kepada kelulusan yang diperoleh daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) yang mempunyai mekanisme tersendiri, termasuk jalur tarif yang ditentukan.
Beliau menjelaskan jalur satu tarif di negeri itu tidak pernah naik sejak 1992, manakala jalur dua pula sejak 2015, sedangkan sepatutnya kadar tarif dikaji semula atau boleh naik setiap tiga tahun seperti dibenarkan oleh SPAN.
“Kadang kala Pulau Pinang tidak kuatkuasakan (kenaikan setiap tiga tahun) atau tidak diluluskan sebagainya kenaikan tarif air dan kalau ikut kaedah ini (kaji semula tarif setiap tiga tahun) tidak akan (naik tarif) mendadak seperti sekarang. Sudah lama tidak naik, kita kena catch out,” katanya.
Beliau berkata demikian mengulas cadangan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), yang mencadangkan beberapa penyelesaian masalah peningkatan tarif air antaranya menaikkan tarif air dalam tiga fasa setahun.- BERNAMA