Susulan kejadian tembakan pada pagi Ahad lalu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mempertingkatkan penugasan pegawai dan anggotanya di sekitar Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan KLIA 2 bermula Selasa lalu.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata kawalan keselamatan dan pemantauan itu bukan hanya membabitkan pegawai dan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) KLIA, tetapi juga Pasukan Gerakan Am (PGA).
Justeru, beliau menasihatkan orang ramai tidak bimbang jika melihat pegawai dan anggota polis lengkap bersenjata di sekitar kawasan Balai Berlepas dan Balai Ketibaan di kedua-dua lapangan terbang itu.
Ini kerana, katanya kehadiran mereka adalah untuk menjalankan penugasan kawalan keselamatan dan tinjauan secara menyeluruh.
null
“Untuk kekuatan petugas PGA, PDRM menempatkan empat anggota dalam satu syif yang akan bertugas selama lapan jam dengan penggiliran sebanyak tiga syif sehari membabitkan kekuatan 12 petugas.
“Pada masa sama, satu syif akan berada dalam keadaan siap sedia bagi menghadapi sebarang kemungkinan apa juga situasi yang dianggap mendatangkan ancaman,” katanya kepada BH.
Dalam kejadian di Terminal 1 pada jam 1.20 pagi Ahad lalu, seorang lelaki membaling mercun bola sebelum melepaskan dua das tembakan menyasarkan isterinya pada jarak tiga hingga empat meter.
Bagaimanapun satu tembakan dilepaskan tersasar, manakala satu das lagi mengenai perut salah seorang pengawal peribadi.
Suspek dikenali Hafizul Harawi, 38, melarikan diri sebelum diberkas di Kota Bharu, Kelantan pada Selasa lalu.
Motif kejadian dipercayai berpunca masalah peribadi antara suspek dan isteri.
Dalam pada itu, Razarudin berkata, peningkatan kawalan keselamatan dan rondaan pemantauan adalah satu bentuk komitmen PDRM dalam menghadapi sebarang kemungkinan, serta memastikan keselamatan dan ketenteraman awam di pintu masuk utama ke Malaysia terjamin.
“Dua anggota dari IPD KLIA akan bertugas di setiap aras membabitkan aras ketibaan di tingkat 3 dan aras ketibaan di tingkat 5 KLIA dan konsep penugasan adalah bersesuaian dengan anggota beruniform lengkap bersenjata SMG HK MP5.
“Mereka ini (anggota IPD KLIA) akan berpasangan dengan anggota PGA yang memakai seragam penuh operasi, lengkap berserta beret, perisai badan dan senjata utama serta senjata kedua.
“Penugasan secara rondaan akan dilaksanakan di lapan pintu masuk dan keluar di Balai Pelepasan dan Balai Ketibaan KLIA,” katanya.
Razarudin dalam pada itu berharap supaya semua pihak memberikan kerjasama sewajarnya demi kebaikan bersama.-BH Online