Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kerajaan meneliti beberapa insentif termasuk pelepasan cukai kepada majikan yang menawarkan inisiatif kerja anjal atau fleksibel kepada pekerja.

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim, berkata langkah berkenaan adalah untuk memberi galakan kepada majikan melaksanakan aturan kerja baharu, bagi memberikan lebih banyak manfaat kepada pekerja di Malaysia.

Katanya, Seksyen 60P dan 60Q Akta Kerja 1955 membabitkan aturan kerja anjal bukan wajib, sebaliknya ia boleh dipraktikkan berdasarkan toleransi antara majikan dan pekerja.

“Majikan harus memahami situasi pekerja dan aturan kerja anjal dilihat sebagai antara kaedah yang membolehkan pekerja menikmati persekitaran pekerjaan yang lebih baik.

“Dalam masa sama, pekerja juga perlu memahami operasi kerja atau perniagaan, bukan semua jenis pekerjaan boleh menawarkan keanjalan waktu bekerja,” katanya kepada media pada acara Power Chat 3.0 yang dianjurkan Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Presiden ACCCIM, Tan Sri Low Kian Chuan.

Mengulas lanjut, Sim berkata, Seksyen 60P dan 60Q adalah permulaan di mana kerajaan menyediakan kerangka dan proses yang lebih jelas untuk majikan dan pekerja untuk mengguna pakai aturan kerja anjal.

Beliau berkata, pekerja di Malaysia boleh memohon kepada majikan aturan kerja fleksibel berdasarkan masa, hari dan lokasi bekerja mengikut Seksyen 60P dan 60Q Akta Kerja 1955.

“Permohonan berkenaan perlu diserahkan kepada majikan untuk diberikan maklum balas dalam tempoh 60 hari dan sekiranya ditolak, majikan harus memberikan alasan mengapa ia ditolak.

“Kerajaan menggalakkan majikan dan pekerja meneroka kaedah untuk menambahbaik produktiviti dan ekonomi, selain melonjakkan sektor pekerjaan dan perusahaan di Malaysia. 

“Justeru, Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) menerusi agensi kami, Talent Corporation Malaysia Bhd (TalentCorp) akan menawarkan khidmat bimbingan dan galakan kepada syarikat untuk melaksanakan aturan kerja anjal,” katanya.

Dalam pada itu, Sim berkata, KESUMA sedang meneliti beberapa kaedah dalam usaha meningkatkan keupayaan sektor latihan kemahiran termasuk membabitkan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di Malaysia.

Justeru, katanya KESUMA sedang berbincang dengan beberapa syarikat multinasional (MNC) antaranya dari Amerika Syarikat (AS), China dan Eropah termasuk Huawei serta Proton Holdings Bhd (PROTON) bagi meneroka pembaharuan yang boleh dipraktikkan untuk memastikan modal insan serta bakat tempatan dapat dipertingkatkan.

Beliau berkata, kerajaan juga memiliki perancangan memperkukuhkan program latihan yang ditawarkan KESUMA bagi menjadikannya sistem tunggal untuk menjadikan pengurusan lebih cekap, meningkatkan kualiti dan kebolehcapaian kepada latihan kemahiran. 

“KESUMA sedang berbincang dengan lima syarikat MNC asing bagi membentuk kerjasama antara syarikat dari luar negara dengan 33 institut latihan perusahaan (ILP) yang dikendalikan kementerian.

“Kita sedang berusaha untuk menambah baik sektor latihan kemahiran dalam kerangka KESUMA untuk memperkasa ILP dan TVET di Malaysia,” katanya.-BH Online