Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) melakukan 62 tangkapan dengan nilai rampasan berjumlah lebih RM5 juta sepanjang Op Khas Pagar Laut yang berkuat kuasa di seluruh negara, sejak 15 hari lalu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata Maritim Malaysia bertanggungjawab mengekang dan memerangi aktiviti jenayah rentas sempadan membabitkan isu pendatang asing tanpa izin (PATI), pencerobohan nelayan asing, penyeludupan masuk dan keluar barangan kontraban serta penyeludupan barang kawalan ke negara jiran.

Katanya, sekiranya perkara itu tidak tangani, negara berhadapan dengan pelbagai isu serta turut mengalami kerugian jutaan ringgit akibat tindakan individu atau kumpulan yang menyasarkan musim perayaan bagi melakukan aktiviti jenayah dan pelanggaran undang-undang di laut.

“Kejayaan operasi Maritim Malaysia adalah berdasarkan kemampuan aset agensi ini dalam melaksanakan operasi yang dijalankan.

“Justeru, Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengambil tindakan dengan menambah aset baharu dalam meningkatkan kawalan keselamatan serta operasi cari dan selamat (Carilamat) Maritim di Zon Maritim Malaysia.

“Antaranya empat helikopter medium lift, sebuah kapal Multi Purpose Mission Ship (MPMS) serta baki dua kapal OPV,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media pada Program Lawatan Tinjauan Op Pagar Laut di atas Kapal Maritim (KM) Tun Fatimah di kawasan perairan Selangor, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Ruji Ubi dan Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Hamid Mohd Amin.

Selain itu, katanya, Maritim Malaysia bakal menerima aset baharu iaitu dua New Generation Petrol Craft (NGPC), dua bot pemintas Pasukan Tindakan Khas (PTK) dan lima bot pemintas Rigid Hull Fenders Boat (RHFB).

“Maritim Malaysia juga akan membawa pulang sebuah Kapal Peronda Luar Pesisir (OPV) dari US Coast Guard pada hujung tahun ini,” katanya.

Katanya, sebagai kementerian yang bertanggungjawab dalam menjaga ketenteraman awam, pihak memastikan setiap agensi di bawah KDN diarahkan meningkatkan pengawasan serta pemantauan di seluruh negara termasuk di kawasan sempadan negara agar aktiviti jenayah dapat dibendung dengan sewajarnya.

“Tindakan ini perlu kerana ancaman keselamatan kini tidak hanya bersifat tradisional tetapi bersifat bukan tradisional yang sangat dinamik dan kompleks yang memerlukan agensi di bawah KDN mengambil tindakan pantas dan berkesan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Hamid Mohd Amin, berkata selain penguatkuasaan, Maritim Malaysia turut bersiap sedia melaksanakan tugas Carilamat sekiranya berlaku insiden kapal atau bot yang membawa warga asing dari negara ini untuk pulang ke kampung halaman bagi menyambut lebaran nanti.

“Ini berikutan terdapat warga asing khususnya PATI dari negara jiran mengambil risiko untuk pulang ke kampung halaman masing-masing dengan menaiki bot atau tongkang yang tidak mempunyai ciri keselamatan dan menggunakan laluan yang tidak diwartakan.

“Tindakan ini jelas boleh membahayakan keselamatan mereka dan berisiko untuk kehilangan nyawa,” katanya.

Khamis lalu, Maritime Rescue Sub Center (MRSC) Johor Bahru menyelaras Carilamat sebuah bot membawa 18 orang PATI yang karam di 11 batu nautika Barat Kuala Selangor.

Kesemua mangsa berjaya diselamatkan oleh Pasukan Polis Marin (PPM) Selangor.-BH Online