Pelaksanaan subsidi bersasar yang dijadualkan bermula selepas suku kedua tahun ini tidak akan menjejaskan pelaburan asing dalam negara, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Beliau berkata, ini berikutan pelabur lebih mementingkan konsistensi dasar yang dilaksanakan dalam negara bagi menentukan komitmen pelaburan mereka.
“Dari segi pelaburan asing, tidak ada kesan kerana pelabur akan melabur dalam jangka masa panjang.
“Tengok konsistensi polisi (dasar), contohnya sektor semikonduktor sudah bermula tahun 1970-an dan sudah 50 tahun (bertapak di Malaysia)… itulah fokus pelabur kita untuk melihat bagaimana dasar negara, jika konsisten mereka akan melabur,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Ihya’ Ramadan dan Iftar Perdana di pekarangan Masjid Jamek Al Ansar, dekat Bandar Baru FELCRA Seberang Perak, di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Pengerusi Halal Development Corporation, Khairul Azwan Harun dan Pengerusi Felcra Education Services Sdn Bhd, Ramelle Ashram Ramli.
Dalam pada itu Tengku Zafrul berkata kos pengoperasian bagi syarikat asing yang membuat pelaburan di Malaysia masih dikategorikan rendah berbanding negara lain.
“Dari segi kos, kita masih lagi rendah berbanding negara-negara lain kerana kebanyakan syarikat ini (pelabur asing) tak dapat pun subsidi yang disebut secara bersasar.
“Oleh itu, walaupun subsidi ini ditarik, syarikat-syarikat besar ini akan bandingkan negara kita dengan negara lain (dan) negara kita masih lagi efektif dari segi kos,” katanya.
Pada majlis itu, Tengku Zafrul menyerahkan sumbangan kepada dua masjid dan 11 surau di kawasan Seberang Perak.
Sebelum ini media melaporkan Malaysia mencatatkan jumlah pelaburan diluluskan RM329.5 bilion pada 2023 iaitu 23 peratus lebih tinggi berbanding 2022, sekali gus menjadikannya tertinggi dalam sejarah negara.
Daripada jumlah itu, pelaburan asing penyumbang utamsa sebanyak 57.2 peratus berbanding domestik iaitu 42 peratus.
Pada 24 Mac lalu, Menteri Ekonomi Rafizi Ramli dilaporkan berkata, kerajaan akan melaksanakan subsidi bersasar pada suku kedua ke atas, dengan pemberian subsidi bersasar dalam bentuk pindahan tunai secara bulanan dipertimbangkan.-BH Online