Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kementerian Kesihatan (KKM) mahu proses pengesanan awal penyakit tuberkulosis (tibi) selain memulakan rawatan secepat mungkin, dipertingkatkan.

Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata tibi masih menjadi salah satu beban penyakit utama di negara ini dengan statistik semasa menunjukkan ia membimbangkan dan menjejaskan kualiti hidup rakyat.

“Dengan adanya rawatan yang boleh menyembuhkan penyakit tibi, usaha bagi mengesan awal dan memulakan rawatan secepat mungkin perlu ditingkatkan.

“Penyakit tibi adalah penyakit berjangkit yang merebak melalui udara disebabkan oleh `mycobacterium tuberculosis’. 

“Organ utama yang dijangkiti adalah paru-paru, namun organ lain juga boleh mendapat jangkitan seperti otak, tulang belakang, kelenjar limfa, perut dan lain-lain.

“Gejala penyakit tibi adalah seperti batuk berpanjangan melebihi dua minggu, demam, berpeluh waktu malam, kurang selera makan, susut berat badan dan batuk berdarah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dzulkefly berkata salah faham berkaitan gejala penyakit tibi adalah disebabkan santau, buatan orang atau penyakit keturunan perlu diperbetulkan agar individu yang mempunyai gejala mendapat pemeriksaan dan rawatan awal.

Katanya, mereka yang berisiko tinggi dijangkiti penyakit tibi seperti pesakit HIV, buah pinggang kronik, penghidap pulmonari kronik (jenis obstruktif) dan perokok aktif manakala individu mempunyai kontak kepada kes dinasihatkan untuk melakukan saringan.

“Rawatan bagi penyakit tibi adalah kombinasi ubatan antibiotik yang perlu diambil setiap hari selama tidak kurang enam bulan,” katanya.

Dzulkefly menyarankan pesakit mematuhi jadual rawatan dan berbincang dengan penyelia rawatan jika menghadapi sebarang masalah atau kesan sampingan ubatan. 

Katanya, sokongan ahli keluarga, majikan, rakan sekerja dan masyarakat memainkan peranan penting bagi memastikan pesakit tidak terhenti rawatan.

“Pesakit yang berhenti mengambil rawatan dan enggan meneruskan rawatan boleh dikenakan tindakan perundangan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342),” katanya.

Dzulkefly berkata kaedah pengesanan penyakit tibi menggunakan teknologi terkini yang lebih tepat dan cepat sedang dilaksanakan secara berfasa manakala pelaksanaan regim rawatan lebih pendek sedang diperhalusi.

Katanya, sebagai alternatif kepada pengambilan ubat tibi harian secara rawatan fizikal di klinik kesihatan, kaedah rawatan pemerhatian menggunakan video (video observed treatment) dilaksanakan secara projek rintis mulai Julai 2023 membabitkan 27 klinik kesihatan terpilih di lima negeri. 

“Kaedah video observed treatment berkenaan akan diperluaskan ke semua negeri pada tahun ini,” katanya.

Dzulkefly berkata Hari Tibi Sedunia disambut pada 24 Mac setiap tahun dan sambutan berkenaan adalah sempena memperingati sejarah penemuan bakteria mycobacterium tuberculosis oleh Dr Robert Koch pada 24 Mac 1882. 

Katanya, tema tahun ini adalah ‘Yes, We Can End TB’ atau ‘Ya, Kita Boleh Hentikan Tibi’.

“Kita menyeru sokongan dan komitmen semua individu dan lapisan masyarakat bagi menggembeling usaha, tenaga, kepakaran, inovasi serta meningkatkan pelaburan bagi menghentikan tibi di negara ini,” katanya.-BH Online