Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan meneruskan usaha perkukuhkan tatakelola bagi memberikan khidmat terbaik kepada masyarakat menjelang sambutan Hari Polis ke-217 tahun ini.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, kekurangan yang dimiliki perlu dijadikan sebagai usaha untuk terus memperbaiki diri bagi pasukan.
“InsyaAllah kita (polis) akan memperkemaskan lagi tatakelola dan sebagainya untuk memastikan kita dapat memberikan khidmat yang terbaik kepada masyarakat.
“Memanglah ada sedikit kekurangan, itu biasa dan kita akan perbaiki kelemahan ini,” katanya dalam sidang akhbar pada Majlis Iftar dan Penyampaian Sumbangan Hari Raya Aidilfitri di Maahad Tahfiz Al-Faridiyah di sini, hari ini.
Turut hadir Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan dan Pengerusi Maahad Tahfiz Al-Faridiyah yang juga Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma), Datuk Jawahar Ali Taib Khan.
Seramai 2,500 individu terdiri daripada asnaf dan mereka memerlukan di kawasan sekitar menerima sumbangan yang disampaikan Ayob.
Ayob menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada Presma atas inisiatif menganjurkan majlis berkenaan dan memberikan sumbangan kepada golongan memerlukan.
“Besar harapan saya semoga dengan sedikit sumbangan ini dapat memberi keceriaan kepada penerima sebagai persediaan menyambut ketibaan Syawal,” katanya.
Terdahulu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain meminta pegawai dan anggota polis melaksanakan tugas secara profesional dan terus memberikan perkhidmatan bertunjangkan integriti serta tata kelola yang baik.
Razarudin dilaporkan berkata, ia demi mempertahankan keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang.
Peringatan Hari Polis bakal disambut pada 25 Mac tahun ini dengan mengekalkan tema ‘Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada’.
Sementara itu, Jawahar berkata, majlis sumbangan yang diadakan sejak 1994 itu bertujuan meringankan beban penerima terutama menjelang sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.
Beliau berkata, sebanyak 23 jenis barang keperluan disumbangkan kepada penerima menerusi sistem imbas kod QR bagi memudahkan urusan penyerahan.
“Program ini adalah kesinambungan Majlis Akad Nikah Rahmah yang dianjurkan pusat pengajian ini dengan kerjasama beberapa agensi termasuk Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) baru-baru ini.
“Dengan adanya bantuan ini, diharapkan penerima akan dapat menyambut hari raya dengan penuh makna dan kesyukuran,” katanya.-KOSMO! ONLINE.