Kerajaan secara dasar bersetuju untuk meneliti semula Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, untuk ditambah baik dan diperkemaskan, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.
Untuk tujuan itu, beliau yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata Kementerian Komunikasi akan mengadakan sesi pertemuan dan libat urus dengan pihak berkepentingan, bagi meneliti aspek yang boleh ditambah baik, dalam akta berkenaan.
Ia kesinambungan kepada dasar yang telah diputuskan sekitar Ogos 2022…isu-isu melibatkan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 contohnya, yang mana ramai dalam kalangan Ahli Parlimen punyai pandangan tegas tetapi masa yang sama ada yang berpandangan adakah akta ini cukup kuat atau tidak,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Kabinet di sini hari ini.
Beliau berkata perkara tertentu antaranya nilai atau denda yang terdapat dalam akta tersebut telah lama dan perlu diteliti semula.
“Ada beberapa faktor yang kita akan teliti, satunya nilai dalam konteks kalau saya sebutkan mengenai pematuhan standard sebagai contoh nilai (denda) waktu ini ialah nilai berdasarkan nilai mata wang ringgit pada 1998 dan saiz ekonomi waktu itu.
“Kalau kita bandingkan, apakah nilai sesuai dan manfaat keadaan hari ini dan sekiranya ada perubahan nilai tersebut ia adalah pada kadar dan nilai bersesuaian dengan keadaan ekonomi,” katanya.
Sementara itu, ketika ditanya sama ada perincian pencarian semula pesawat Malaysia Airlines MH730 dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet hari ini, Fahmi berkata perkara itu belum dibawa untuk perbincangan mesyuarat kali ini.
“Belum lagi dibawa maklumat tersebut untuk dibincang dalam Kabinet tetapi saya percaya dalam minggu akan datang, laporan itu akan dibentangkan. Laporan daripada Menteri Pengangkutan Anthony Loke,” katanya.
Kementerian Pengangkutan (MOT) sebelum ini dilaporkan memberi jaminan akan melakukan segala yang mungkin bagi mendapatkan kelulusan Kabinet, menandatangani kontrak baharu dengan Ocean Infinity, untuk menyambung semula pencarian pesawat Malaysia Airlines MH730 yang hilang 10 tahun lepas.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Malaysia bersedia membuka semula siasatan berhubung insiden kehilangan pesawat bagi penerbangan MH370 Malaysia Airlines hampir sedekad lepas, sekiranya ada bukti baharu dan kukuh.
Pada 8 Mac 2014, pesawat Malaysia Airlines yang membawa 239 orang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur ke Beijing, namun hilang daripada skrin radar kira-kira dua jam setelah berlepas.
Susulan itu, operasi mencari secara besar-besaran membabitkan beberapa negara dijalankan di selatan Lautan Hindi, namun pesawat atau bangkainya tidak ditemukan.-Bernama