KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) Perubahan Iklim dijangka dibentangkan pada sidang Dewan Rakyat yang sedang berlangsung kini sebaik saja memperoleh kelulusan Kabinet, kata Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup.
Katanya, penggubalan RUU itu secara dasarnya telah mendapat persetujuan prinsip Jemaah Menteri.
Selain itu, beliau berkata, sesi libat urus bersama kerajaan negeri, khususnya Sabah dan Sarawak, juga selesai dilaksanakan bagi memastikan hak serta kedaulatan perundangan negeri terus terpelihara.null
“Sekiranya mendapat ‘lampu hijau’ atau kelulusan, kita akan memaklumkan kepada Setiausaha Dewan Rakyat supaya RUU ini boleh dibentangkan pada sesi yang sedang berlangsung sekarang,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Pameran dan Persidangan Produk Teknologi Hijau dan Eko Antarabangsa Malaysia (IGEM) 2026 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini, hari ini.
Berhubung isu jerebu rentas sempadan pula, Arthur memaklumkan bahawa Malaysia masih menunggu kelulusan rasmi daripada Kerajaan Indonesia untuk menghantar bantuan memadamkan kebakaran hutan di negara itu.
“Belum ada (anggaran tarikh) tetapi daripada pihak Malaysia, kita sudah bersedia dari segi aset, kepakaran dan tenaga kerja. Kita bersedia untuk membantu,” katanya.
Beliau berkata, surat rasmi mengenai tawaran bantuan itu telah disampaikan kepada Menteri Lingkungan Hidup Indonesia, Moh Jumhur Hidayat.
Katanya, ia disusuli perbincangan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, ketika mengadakan lawatan kerja ke republik itu, baru-baru ini.
“Beliau (Ahmad Zahid) berjumpa dengan Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, dan kita telah mendapat persetujuan.
“Sekarang, kita sedang menyelaraskan prosedur terbabit melalui Kementerian Luar bersama pihak berkuasa Indonesia,” katanya.
Mengenai situasi kualiti udara semasa, Arthur berkata, prosedur operasi standard (SOP) melalui Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan sedia diaktifkan mengikut tahap bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU), selain pemantauan dipergiatkan di stesen cerapan seluruh negara.
“Sekiranya bacaan IPU melepasi had, Kementerian Pendidikan (KPM) akan dimaklumkan untuk mengambil tindakan bawah kuasa mereka.
“Pada masa sama, kita sentiasa memberi nasihat kepada orang ramai supaya mengelak atau mengurangkan aktiviti di luar.
“Bagi mereka yang mungkin mempunyai imuniti agak rendah, kalau boleh jangan keluar langsung, pakai pelitup muka dan banyak minum air,” katanya. -BH Online
