KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan terus mendapatkan pandangan semua kluster serta pemegang taruh bagi memastikan penggubalan akta dan kerangka perundangan baharu pendidikan tinggi negara dilaksanakan secara menyeluruh.
Menterinya, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, berkata input dan kepakaran penasihat undang-undang universiti awam (UA) sangat penting dalam membantu membentuk sebuah akta yang bukan saja kukuh dari sudut undang-undang, tetapi juga praktikal dan mampu memenuhi keperluan sebenar ekosistem pendidikan tinggi.
“Proses ini akan terus dilaksanakan secara terbuka, inklusif dan menyeluruh.
“Setiap pandangan akan diteliti agar kerangka baharu yang dibangunkan dapat memperkukuh autonomi, akauntabiliti, tadbir urus serta kebebasan yang bertanggungjawab di institusi pendidikan tinggi (IPT),” katanya dalam hantaran melalui Facebook, hari ini.
Terdahulu, Zambry menerima kunjungan hormat daripada kumpulan penasihat undang-undang UA yang mempunyai pengalaman luas dalam aspek perundangan, tadbir urus dan operasi institusi.
Beliau berkata, pelbagai pandangan, maklum balas dan cadangan penting berkaitan kerangka perundangan baharu yang sedang dirangka, telah diterima oleh pihaknya dalam pertemuan itu.
Ia termasuk perkara yang perlu dipertimbang bagi memastikan peralihan dapat dilaksanakan dengan tersusun tanpa menjejaskan kelangsungan pentadbiran dan operasi universiti.
“Terima kasih atas kesediaan berkongsi pandangan dan kepakaran. Insya-Allah, segala input yang diterima akan menjadi sebahagian daripada pertimbangan penting dalam usaha membentuk masa depan pendidikan tinggi negara,” katanya. -BH Online
