SERDANG: Pembukaan MAHA Trade Days 2026 sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA 2026) menyaksikan 14 pertukaran memorandum persefahaman (MoU) dimeterai bernilai keseluruhan RM1.49 bilion pada hari pertama, hari ini.
Ia sekali gus mencerminkan keyakinan pelabur dan rakan strategik terhadap potensi serta prospek sektor agromakanan Malaysia pada peringkat global.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, berkata kerjasama dimeterai membabitkan pelbagai subsektor strategik agromakanan termasuk input pertanian, pengeluaran dan pemprosesan hasil pertanian, industri ternakan, produk makanan halal, nanas, pembangunan produk pertanian serta teknologi dan pembangunan kapasiti.
“Antara kerjasama bernilai tinggi direkodkan ialah pembangunan loji pemprosesan nanas di Tukau, Miri, Sarawak bernilai RM1.031 bilion, selain kerjasama strategik dalam pengeluaran dan pengedaran produk pertanian, pengembangan kapasiti ladang ayam pedaging berteknologi tinggi serta pembangunan baja khusus bagi tanaman nanas.
“Nilai RM1.49 bilion direkodkan pada hari pertama ini sebahagian daripada sasaran keseluruhan lebih RM8 bilion bagi nilai pelaburan dan perdagangan MAHA 2026.
“Sasaran itu mencerminkan aspirasi kementerian menjadikan MAHA bukan sekadar platform pameran, tetapi medan strategik bagi menjana peluang perdagangan, menarik pelaburan dan memperluaskan akses pasaran antarabangsa bagi industri agromakanan Malaysia,” katanya pada majlis perasmian di sini, hari ini.
Sementara itu, Mohamad berkata, kementeriannya turut berharap dapat diberikan peruntukan tambahan sempena Belanjawan 2027 khususnya bagi menghadapi cuaca tidak menentu dan El Nino.
Beliau berkata, Ketua Setiausaha kementerian sudah menyenaraikan peruntukan diperlukan dan sudah bertemu Menteri Kewangan II.
“Daripada pertemuan itu, ada persetujuan menambah peruntukan bagi membantu kita menghadapi cabaran cuaca global dan El Nino yang dijangka melanda Malaysia lebih hebat pada tahun depan.
“Selain itu, pihak kementerian juga akan meneruskan bantuan subsidi untuk golongan nelayan dan pesawah menerusi Belanjawan 2027, manakala golongan sudah boleh berdikari, tidak akan diteruskan,” katanya. -BH Online

