Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melakar sejarah sebagai kementerian pertama di Malaysia menerima Penarafan Emas GreenRE bagi kategori Existing Non-Residential Building (ENRB v3.3), sekali gus mencerminkan komitmennya terhadap kecekapan tenaga, tanggungjawab alam sekitar dan pengurusan bangunan mampan.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata pengiktirafan itu membuktikan kesungguhan KPKT untuk menterjemahkan komitmen terhadap kelestarian menerusi operasi dan persekitaran kerjanya, bukan sekadar menggalakkan amalan hijau melalui dasar serta program.

“Pencapaian ini mencerminkan komitmen KPKT untuk memimpin melalui teladan. Sebagai kementerian yang bertanggungjawab membentuk komuniti mampan dan bandar lebih hijau, kita perlu terlebih dahulu melaksanakan apa yang kita sarankan dengan memastikan aspek kelestarian diterapkan dalam kemudahan serta operasi harian kita.

“Kami amat berbesar hati menjadi kementerian pertama di Malaysia menerima Penarafan Emas GreenRE. Ini bukan sekadar anugerah atau pensijilan, sebaliknya pengiktirafan terhadap usaha kolektif kami dalam meningkatkan kecekapan tenaga, mengoptimumkan sumber serta mewujudkan persekitaran kerja yang lebih sihat dan mampan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain Penarafan Emas GreenRE, bangunan KPKT turut memperoleh penarafan Sijil Tenaga (EC) Emas, sekali gus membuktikan prestasi kukuhnya dalam aspek kecekapan tenaga dan pengurusan bangunan mampan.

“Penarafan Emas merupakan pencapaian penting, namun usaha kita tidak terhenti di sini. KPKT akan terus memperkukuh inisiatif hijau dan meningkatkan prestasi alam sekitar bangunan ini dengan aspirasi untuk mencapai Penarafan Platinum GreenRE pada masa hadapan,” katanya.

Bangunan KPKT merupakan kompleks pejabat setinggi 38 tingkat dengan empat aras bawah tanah dan mempunyai keluasan lantai kasar (GFA) kira-kira 117,539.73 meter persegi.

Antara ciri hijau utama bangunan itu ialah Sistem Penyejukan Daerah (District Cooling System) dengan Keamatan Tenaga Bangunan (BEI) kira-kira 89.9 kilowatt-jam bagi setiap meter persegi setahun (kWh/m²/tahun), selain sistem solar fotovolta (PV) yang menyumbang kira-kira 0.26 peratus penggunaan tenaga boleh baharu.

Bangunan itu juga menggunakan 100 peratus kelengkapan cekap air serta dilengkapi sensor karbon monoksida (CO) di kawasan parkir bagi mengawal sistem pengudaraan mekanikal.

Ciri hijau lain termasuk pelaksanaan dasar pengurusan tenaga dan program kitar semula di seluruh bangunan, penyediaan stesen pengecasan kenderaan elektrik (EV), akses kepada perkhidmatan bas awam berhampiran, kemudahan parkir basikal serta audit Kualiti Udara Dalaman (IAQ) yang dilaksanakan setiap tahun.

Selain itu, sudut pendidikan turut disediakan bagi meningkatkan kesedaran mengenai alam sekitar dan amalan mampan.

GreenRE ialah badan pensijilan bangunan hijau Malaysia yang menilai prestasi alam sekitar sesebuah bangunan berdasarkan beberapa kriteria termasuk kecekapan tenaga dan air, perlindungan alam sekitar, kualiti persekitaran dalaman serta amalan mampan.

Nga berkata KPKT turut merancang menubuhkan sebuah jabatan khusus dalam kementerian bagi memantau instrumen penarafan hijau di negara ini, sekali gus meningkatkan pengiktirafan terhadap instrumen berkenaan serta menggalakkan lebih banyak bangunan mendapatkan pensijilan hijau.

“Dalam mesyuarat inisiatif Belanjawan 2027 bersama Kementerian Kewangan Khamis ini, kita akan mengemukakan inisiatif ini sebagai sebahagian daripada cadangan KPKT,” katanya.– BERNAMA