PUTRAJAYA: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yakin Datuk Azizulhasni Awang mampu mencabar pingat emas pada Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28), namun Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari menegaskan keyakinan itu turut diberikan kepada semua atlet negara.
Katanya, penetapan sasaran menerusi program Road to Gold (RTG) perlu disertai keyakinan terhadap kemampuan atlet untuk merealisasikan impian negara menamatkan penantian emas Olimpik.
“Kita yakin dengan semua atlet kita. Apabila kita menetapkan sasaran, maka itu ada keyakinan. Tak guna kita ada program Road to Gold tapi kita tidak yakin.
“Tak guna kita ada pelbagai program yang kita laksanakan tapi jauh di sudut hati kita rasa tak boleh. Jadi yang penting pertama yakin dulu,” katanya dalam sidang media selepas sesi taklimat MSN berkenaan Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 dan Proses Kelayakan Sukan Olimpik Los Angeles 2028 hari ini.
Bagaimanapun, Taufiq menegaskan keyakinan itu tidak boleh sekadar bersandarkan kata-kata atau impian, sebaliknya perlu diterjemahkan menerusi persiapan dan pelaksanaan menyeluruh.
“Yang kedua, keyakinan itu tak boleh datang dengan hanya kata-kata dan mimpi sahaja. Keyakinan itu mesti datang dengan pelaksanaan aksi yang secara menyeluruh.
“Jadi kalau tanya saya, saya tak nak satu atlet sahaja yang saya yakin, kerana keyakinan dan harapan yang kita letak adalah untuk semua atlet,” katanya.
Terdahulu, Taufiq menegaskan keputusan KBS dan Majlis Sukan Negara (MSN) untuk meneruskan khidmat Azizulhasni bagi misi LA28 dibuat berdasarkan data dan fakta, bukannya faktor emosi walaupun pelumba berkenaan bakal berusia 40 tahun ketika temasya itu berlangsung.
“Kita buat keputusan tidak berdasarkan emosi. Kita buat keputusan berdasarkan data dan fakta setelah mengambil pertimbangan.
“Saya sangat objektif. Jika perkara ini tidak boleh dilaksanakan, maka kita sebut perkara ini tidak boleh dilaksanakan. Jika ada kemungkinan berdasarkan data dan fakta, maka kita laksanakan perkara tersebut.
“Insya-Allah kita yakin. Kita mesti bergerak sebagai satu pasukan yang besar,” katanya. -BH Online
