KUALA LUMPUR: Pengumuman enam ikhtiar segera oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sempena Amanat Perdana Hari Kebangsaan 2026 disifatkan mampu memberi manfaat secara langsung kepada pelbagai lapisan tenaga kerja negara.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan berkata, manfaat itu merangkumi pekerja berpendapatan rendah dan sederhana, pekerja gig, golongan bekerja sendiri, peniaga kecil, wanita serta belia.
Menurutnya, pengumuman itu memperlihatkan prinsip bahawa pertumbuhan ekonomi negara perlu diterjemahkan kepada peningkatan kesejahteraan rakyat.
“Perkara paling penting ialah bagaimana kekuatan ekonomi negara dapat dirasai oleh pekerja dalam kehidupan seharian mereka.
“Sama ada melalui pengurangan tekanan kos sara hidup, peningkatan kemahiran, peluang menjana pendapatan atau sokongan kepada mereka yang bekerja sendiri,” katanya menerusi kenyataan yang disiarkan hari ini.
Antara langkah diumumkan ialah peningkatan kelayakan asas BUDI95 daripada 200 kepada 300 liter sebulan yang bakal memanfaatkan lebih 16 juta pengguna.
Kemudahan BUDI Diesel sehingga 400 liter sebulan turut diperluas kepada lebih setengah juta pemilik kenderaan diesel jenis pikap dan jip yang layak.
Ramanan berkata, langkah itu penting kepada pekerja yang bergantung pada kenderaan untuk berulang-alik, selain mereka yang menggunakannya bagi menjalankan pekerjaan dan mencari pendapatan.
Beliau turut menyambut baik program AI untuk rakyat yang menyasarkan 100,000 belia berusia antara 18 hingga 30 tahun.
Peserta yang melengkapkan modul ditetapkan akan menerima langganan aplikasi kecerdasan buatan (AI) terkemuka secara percuma selama tiga bulan.
“AI, automasi dan digitalisasi bukan lagi perkara untuk masa hadapan, tetapi sudah menjadi sebahagian daripada pasaran pekerjaan hari ini.
“Justeru, membuka akses teknologi AI kepada 100,000 anak muda merupakan pelaburan penting untuk mempersiapkan bakat Malaysia dengan kemahiran relevan,” katanya.
Beliau berkata, usaha itu juga dapat memastikan golongan muda tidak ketinggalan dalam perubahan landskap pekerjaan global.
Ia termasuk Program Jelajah AI MYMahir yang menyediakan latihan AI secara percuma kepada lebih 22,000 rakyat Malaysia menerusi peruntukan hampir RM110 juta melalui TalentCorp.
Menurut Ramanan, pendekatan tersebut selari dengan usaha Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) membangunkan pasaran buruh lebih inklusif dan meningkatkan kemahiran tenaga kerja.
“Semangat kemerdekaan mesti diterjemahkan kepada kehidupan rakyat. Pekerja harus berpeluang meningkatkan pendapatan dan anak muda pula memiliki kemahiran untuk mendapatkan pekerjaan lebih baik.
“Mereka yang bekerja sendiri juga perlu diberikan ruang untuk terus berkembang. Inilah makna pembangunan inklusif apabila kemajuan negara tidak meninggalkan sesiapa,” katanya lagi.-Astro Awani
