Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PETALING JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu ruang lebih bebas dan terbuka diberikan kepada penggiat seni, terutama pembikin filem bagi memastikan industri berkenaan kekal relevan.

Perdana Menteri bagaimanapun menegaskan ruang berkenaan perlu disesuaikan dengan nilai, budaya dan akhlak, selain tidak terikut-ikut dengan acuan negara luar.

“Saya tak mahu menggambarkan diri saya terlalu liberal kerana akan dikecam golongan ultra konservatif tetapi kalau mahu negara ini maju, tentunya harus terima kenyataan anak muda dan khalayak menginginkan suasana lebih bebas dan terbuka.

“Namun, ini tak bermakna perlu ikut acuan Barat dan acuan timur pula tidak semestinya mesti ikut aliran neokonservatif. Aliran timur harus kekal dengan nilai, budaya dan akhlak tetapi perlu terbuka.

“Kalau agak terlalu tertekan dan tertutup, saya bimbang industri seni terutama filem tidak akan berkembang,” katanya ketika merasmikan Menara Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) di Damansara Damai di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil dan Timbalannya, Teo Nie Ching serta Pengerusi FINAS, Datuk Dr Hans Isaac. – BH Online