GERIK: Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) akan membawa perkara berkaitan penganjuran sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2026 ke perhatian Jemaah Menteri jika keadaan jerebu di negara ini semakin membimbangkan.
Menterinya, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup, berkata langkah itu bagi membolehkan keputusan sewajarnya dibuat dengan mengambil kira keselamatan dan kesihatan orang ramai, memandangkan kedua-dua sambutan membabitkan banyak pergerakan serta aktiviti luar.
Beliau berkata, setakat ini masih terlalu awal untuk menentukan keadaan cuaca ketika sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos kerana ramalan lebih tepat hanya dapat diberi empat atau lima hari sebelum tarikh berkenaan.
“Kita akan sentiasa memantau tetapi jika keadaan ini merisaukan, saya akan bawa perkara ini kepada perhatian Jemaah Menteri untuk buat keputusan kemudian. Pada asasnya, keutamaan adalah sentiasa memastikan keselamatan dan kesihatan orang ramai,” katanya selepas merasmikan Penutupan dan Pengiktirafan ASEAN dan Asia Records Banding Trail Adventure 2026 (BTA2026) di Pulau Banding, di sini, hari ini.
Arthur berkata, pendekatan sama akan diambil bagi sambutan Hari Malaysia pada 16 September, namun berharap keadaan cuaca berada pada tahap baik bagi membolehkan kedua-dua sambutan itu berlangsung seperti dirancang.
Sementara itu, beliau berkata, berdasarkan laporan awal hari ini, daripada 68 stesen pemantauan kualiti udara di seluruh negara, tiga mencatatkan kualiti udara baik, 56 sederhana, lapan tidak sihat dan satu sangat tidak sihat dengan kebanyakannya di kawasan selatan Sarawak.
“Setakat ini, kebanyakan ‘hotspot’ adalah di kawasan Kalimantan dan Sumatera, bagi kawasan kita di Malaysia, saya hanya boleh komen kebanyakan kawasan terkesan adalah di selatan Sarawak sebab berdekatan Kalimantan.
“Jadi, kita akan terus memantau keadaan ini dan untuk terus memberi nasihat kepada orang ramai jika keadaan menjadi lebih merisaukan, kita akan keluarkan serta melaksanakan beberapa tindakan diperlukan nanti,” katanya.
Arthur berkata, di Sarawak, lapan stesen berada pada tahap tidak sihat iaitu di Sri Aman, Kuching, Samarahan, Sarikei, Sibu, Bintulu, Samalaju dan Kapit, manakala satu stesen merekodkan bacaan pada tahap sangat tidak sihat iaitu di Ibu Pejabat Polis Daerah Serian.
Beliau berkata, NRES bersama Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) meningkatkan operasi pemantauan susulan keadaan cuaca lebih kering serta peningkatan titik panas, selain meningkatkan usaha bersepadu, khususnya bersama-sama negara ASEAN.
“Baru-baru ini ketika mesyuarat ASEAN berkaitan isu jerebu rentas sempadan, saya bertemu rakan sejawat di Indonesia dan kita bekerjasama, bersetuju untuk meningkatkan usaha (menangani isu itu).
“Kita akan bekerjasama memantau kawasan ‘hotspot’ dan berkongsi ruang udara jika kita perlu melaksanakan operasi pembenihan awan,” katanya. – BERNAMA

