SEREMBAN: Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan hari ini meluluskan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan Tahun 2026 berjumlah RM40.35 juta bagi memenuhi beberapa komitmen kewangan dan keputusan kerajaan negeri dalam tahun semasa.
Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim, berkata daripada jumlah itu, sebanyak RM6.5 juta adalah bagi komitmen bayaran balik hutang kerajaan negeri kepada Kerajaan Persekutuan, manakala RM5.85 juta bagi bayaran pencen dan ganjaran susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 5 Jun lalu.
“Sebanyak RM13 juta pula diperuntukkan bagi Bantuan Khas Kewangan (BKK) bersamaan dua bulan gaji serta Bantuan Khas Kewangan Berasaskan Prestasi kepada penjawat awam.
“Selain itu, RM15 juta diperuntukkan bagi meneruskan kerja-kerja naik taraf Masjid Negeri serta penyelenggaraan kemudahan masjid, surau dan tanah perkuburan Islam di Negeri Sembilan,” katanya kepada media selepas Persidangan Pertama (Khas) Penggal Pertama DUN Negeri Sembilan ke-16, di sini, hari ini.
Ismail yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Juasseh berkata, dengan tambahan itu, jumlah belanja mengurus Negeri Sembilan bagi tahun 2026 meningkat daripada RM640 juta kepada RM680.35 juta.
Beliau bagaimanapun berkata, dari segi kedudukan kewangan, kerajaan Negeri Sembilan mencatat lebihan sebenar sebanyak RM203.2 juta pada tahun 2025, manakala kutipan hasil mencapai RM785.2 juta atau 133.1 peratus daripada sasaran.
Menurutnya, kedudukan ini memberikan asas yang baik untuk kerajaan negeri meneruskan pembangunan dan memenuhi tanggungjawab kepada rakyat.
“Justeru, hala tuju kita adalah jelas dan kita mahu Negeri Sembilan yang stabil, maju dan makmur, iaitu stabil dari segi pentadbiran dan tadbir urus, maju melalui pembangunan ekonomi serta peluang yang lebih luas serta makmur apabila manfaat
pembangunan dapat dirasai oleh segenap lapiran rakyat.
“Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada semua ADUN dan penjawat awam yang telah memastikan perjalanan persidangan ini berlangsung dengan lancar,” katanya.
Pada 11 Disember tahun lalu, DUN Negeri Sembilan meluluskan Belanjawan Negeri 2026 dengan memperuntukkan RM640 juta, dengan perbelanjaan pembangunan berjumlah RM150 juta.
Rang Undang-Undang Perbekalan 2026 diluluskan itu membabitkan belanjawan defisit RM30 juta, berbanding anggaran hasil negeri berjumlah RM610 juta.
Persidangan hari ini turut melantik Yang Dipertua DUN yang baharu iaitu bekas ADUN Kota selama tiga penggal, Datuk Seri Dr Awaludin Said dan Timbalan Yang Dipertua DUN pula ialah ADUN Paroi, Kamarol Ridzuan Mohd Zain. -BH Online

