BERA: Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) akan memperkukuh transformasi pendidikan awal di Taman Bimbingan Kanak-Kanak (TABIKA) dan Taman Asuhan Kanak-Kanak (TASKA) di seluruh negara dengan menggabungkan pembentukan nilai, agama dan penguasaan teknologi selaras dengan keperluan masa hadapan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata selepas enam dekad agensi diwujudkan dan berkhidmat kepada masyarakat kini sudah tiba masa KEMAS memasuki fasa baharu serta terus berevolusi mengikut perubahan zaman tanpa meninggalkan asas pembentukan insan.
Beliau berkata, perubahan dalam ekosistem pendidikan termasuk penurunan umur permulaan persekolahan daripada tujuh kepada enam tahun menjadikan pendidikan awal di TASKA dan TABIKA semakin penting.
Katanya, sebagai asas sebelum kanak-kanak memasuki persekolahan formal KEMAS perlu bergerak seiring dengan perkembangan teknologi termasuk melalui peluasan pelaksanaan ‘Smart Class’ dan penggunaan smartboard di TABIKA.
“Generasi kini membesar dalam persekitaran digital dan pendidikan awal negara tidak boleh terpisah daripada perkembangan itu,” katanya ketika berucap di Program Ramah Mesra Bersama Warga KEMAS Pahang, di sini, hari ini.
Majlis turut dihadiri Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Beliau merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, berkata kerjasama Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri, Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri perlu terus diperkukuh bagi membantu menyediakan kemudahan teknologi, menaik taraf bangunan serta menambah baik persekitaran pembelajaran TABIKA dan TASKA.
Menurutnya, sejak diwujudkan, TABIKA dan TASKA mendidik lebih 8.4 juta kanak-kanak, sekali gus mencerminkan sumbangan besar agensi itu dalam pembangunan pendidikan awal di negara ini.
Katanya, dalam memperkukuhkan pendidikan agama program hafazan di TABIKA akan diperluaskan mulai tahun hadapan.
“Selain hafazan surah-surah dalam Juzuk 30 kanak-kanak di Tabika KEMAS akan dibimbing menghafaz surah lain termasuk Yasin, Al-Waqiah, Al-Mulk dan As-Sajdah.
“Sebelum program itu dilaksanakan guru KEMAS terlebih dahulu perlu menguasai hafazan surah berkenaan bagi memastikan pelaksanaannya dapat dilakukan secara tersusun dan berkesan,” katanya
Ahmad Zahid berkata kerjasama semua peringkat serta keberanian melakukan pembaharuan adalah asas penting bagi memastikan pembangunan pendidikan awal dapat diteruskan secara lebih tersusun dan menyeluruh.
Beliau berkata ketika berdepan dunia semakin mencabar KEMAS perlu bersedia membentuk generasi baharu yang kukuh nilai dan jati diri, celik teknologi serta mampu bersaing selain mempertahankan legasi selama 60 tahun membina masyarakat dari akar umbi. -BH Online
