Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

AYER KEROH : Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan kerajaannya akan memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (Akta 30).

Perdana Menteri yang juga Presiden PKR berkata, biarpun beberapa pindaan sudah dibuat sebelum ini, namun ada perkara yang masih belum memuaskan mahasiswa. 

“Anak-anak mahasiswa merasakan mereka harus bebas, kita sudah bebaskan dengan pindaan AUKU, masih ada yang tidak puas hati, mereka mengemukakan memo.

“Maka pada hari ini saya nak umumkan, kita akan mansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti,” katanya ketika menyampaikam ucapan dasar presiden pada Kongres Nasional Keadilan 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Turut sama hadir, pimpinan PKR serta Kerajaan Perpaduan antaranya Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar; Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Nor dan Presiden Parti AMANAH, Datuk Seri Mohamad Sabu.

AUKU sudah tujuh kali dipinda sejak ia diperkenalkan pada 1971, dengan pindaan pada 2012 membenarkan mahasiswa menyertai kegiatan anjuran parti politik di luar kampus.

AUKU turut dipinda pada 1971, 1975, 1983, 1996 dan 2009.

Pindaan terbaru pada 2024 lalu menyaksikan tindakan tatatertib ke atas pelajar di universiti awam tidak lagi tertakluk di bawah kuasa Naib Canselor, sebaliknya akan diputuskan oleh Jawatankuasa Tatatertib Pelajar iaitu menerusi pindaan Seksyen 16B AUKU.

Selain itu, pindaan menyaksikan penambahbaikan kepada Seksyen 15A AUKU yang membenarkan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan badan pelajar untuk memungut wang dan menerima sumbangan dalam apa cara sekali pun tertakluk kepada peraturan dan undang-undang bertulis yang sedang berkuat kuasa.

Dalam pada itu, Anwar berkata, beberapa reformasi pendidikan sebelum ini sudah dijayakan pentadbirannya.

“Apa yang kita lakukan, kemasukan anak-anak di peringkat awal, bahan TVET dan STEM secara lebih teratur, pengambilalihan prasekolah untuk semua anak-anak kita.

“Kita tidak mahu prasekolah itu hanya bagi kalangan elit di bandar dan kelas dua bagi anak-anak dipedalaman, dan desa. Maka, itu sudah menjadi tanggungjawab Kementerian Pendidikan,” katanya. -BH Online