KUALA LUMPUR: Orang ramai dinasihat mengurangkan aktiviti di luar antara jam 11 pagi hingga 4 petang tatkala sinaran ultraungu (UV) matahari lazimnya mencapai tahap maksimum, ketika negara sedang melalui Monsun Barat Daya yang dijangka berterusan hingga September depan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata perhatian juga perlu diberikan kepada kanak-kanak, warga emas serta individu yang banyak bekerja di luar bangunan, dalam keadaan cuaca lebih panas, kurang hujan dan langit lebih cerah ketika ini.
“Lapisan ozon adalah pelindung semula jadi bumi daripada sinaran UV matahari.
“Namun, tahap sinaran UV yang sampai ke permukaan turut dipengaruhi oleh beberapa faktor termasuk kedudukan matahari, litupan awan, kandungan ozon dan keadaan atmosfera semasa,” katanya dalam hantaran melalui Facebook, hari ini.
Beliau yang juga Pengerusi Majlis Pengurusan Bencana Negara berkata, selain mengurangkan aktiviti di luar, beberapa langkah mudah boleh turut diamalkan.
Antaranya ialah menggunakan krim pelindung matahari dengan SPF 30 atau lebih, memakai pakaian bersesuaian, topi dan cermin mata hitam dengan perlindungan UV, serta memastikan pengambilan air yang mencukupi.
“Sentiasalah peka dengan keadaan semasa dan ikuti maklumat serta nasihat dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia).
“Jaga diri, jaga keluarga dan jangan ambil mudah apabila berada terlalu lama di bawah sinaran matahari,” katanya. -BH Online

