SHAH ALAM, 4 Ogos – Ekonomi Selangor disasar berkembang kepada RM612.5 bilion menjelang 2030 menerusi pelaksanaan Rancangan Selangor Kedua (RS-2).
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata sasaran itu mampu dicapai sekiranya negeri mengekalkan pertumbuhan ekonomi sekitar RM20 hingga RM25 bilion setahun, sepanjang tempoh pelaksanaan RS-2 dari 2026 hingga 2030.
Katanya Selangor turut menyasarkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 6.3 peratus pada 2026, mengatasi unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia sebanyak 4.7 peratus dan ekonomi global 3.4 peratus.
Dengan momentum itu Selangor dijangka menjadi negeri pertama di Malaysia yang mencatat nilai ekonomi RM500 bilion dalam tempoh dua hingga tiga tahun.
“Sasaran ini selaras dengan unjuran pertumbuhan ekonomi global pada tahun ini oleh Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) melalui laporan Tinjauan Ekonomi Dunia edisi Julai 2026 dengan unjuran ekonomi global berkembang kepada 3.4 peratus manakala ekonomi Malaysia diunjurkan berkembang 4.7 peratus pada tahun yang sama.
“Oleh itu, sasaran pertumbuhan KDNK Selangor adalah 6.3 peratus berdasarkan asas ekonomi negeri yang kukuh di sokong momentum pelaburan dan aktiviti ekonomi yang berterusan. Kerajaan Negeri menyasarkan pertumbuhan ekonomi yang mampan dan berdaya saing dalam tempoh RS-2,” katanya.
Tambah beliau, pencapaian tersebut turut didorong keberkesanan pelaksanaan Rancangan Selangor Pertama (RS-1) di samping usaha berterusan memperkukuh sektor perkhidmatan, pembuatan berteknologi tinggi, perdagangan, logistik, pelaburan serta perusahaan mikro, kecil dan sederhana.
“Prestasi pertumbuhan ekonomi Selangor yang melebihi sasaran tahun lalu membuktikan negeri ini terus kekal sebagai penyumbang terbesar dan enjin utama pertumbuhan ekonomi negara.
“Prestasi ini didorong asas ekonomi negeri yang kukuh serta pengukuhan sektor perkhidmatan, pembuatan berteknologi tinggi, perdagangan, logistik, pelaburan dan perusahaan mikro, kecil serta sederhana,” katanya lagi.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan yang dikemukakan oleh ADUN Pandamaran, Leong Tuck Chee di Dewan Negeri Selangor di sini. -Berita RTM
