KOTA KINABALU: Peranan ibu dan wanita dalam institusi keluarga menjadi asas penting kepada kemajuan sesebuah negara serta pembentukan masyarakat yang berakhlak, berilmu dan berdaya tahan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata sebesar mana pun kemajuan fizikal dan teknologi dicapai sesebuah negara, pembangunan insan yang bermula dalam institusi keluarga tetap menjadi faktor utama dalam melahirkan masyarakat yang baik.
“Di sinilah letaknya peranan ibu dan wanita. Sebesar mana pun kemajuan sesebuah negara, pendidikan awal yang lahir daripada institusi keluarga, khususnya didikan seorang ibu, merupakan akar kepada pembinaan sebuah masyarakat yang baik.
“Jika akar itu dibentuk dengan baik oleh ibu bapa, maka lebih mudah untuk kita melahirkan sebuah negara Madani yang sihat dan segar,” katanya berucap dalam Program Melangkah Bersama MADANI: Wanita Beriman, Wanita Bertahan Peringkat Negeri Sabah bertempat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini.
Turut hadir, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.
Anwar juga berkata, pembangunan negara tidak boleh hanya tertumpu pembinaan infrastruktur, teknologi, industri dan kecerdasan buatan (AI), sebaliknya perlu diseimbangkan pembinaan nilai, akhlak dan kekuatan jiwa.
Katanya, konsep Malaysia MADANI diperkenalkan memberi penekanan kepada pembangunan insan selain kemajuan material.
“Kita bukan sekadar mahu membina gedung pencakar langit, kilang dan infrastruktur. Kita juga mahu membangunkan insan yang mempunyai nilai, akhlak dan kesedaran.
“Gedung-gedung tinggi, teknologi moden, industri, teknologi maklumat dan kecerdasan buatan (AI) mesti bermula dengan pembentukan diri, nilai, jiwa dan kesedaran terhadap akhirat,” katanya.
Menurutnya, asas pendidikan paling penting tetap bermula di rumah melalui peranan ibu bapa dalam memperkenalkan nilai agama dan tanggungjawab kepada anak-anak.
“Sistem persekolahan boleh berjaya, tetapi asas pendidikan tetap bermula di rumah. Di rumah anak-anak mengenal ibu bapa, mengenal al-Quran, mengenal hadis, memahami tanggungjawab agama dan mempelajari solat,” katanya.
Mengulas peranan wanita dalam sejarah Islam, Anwar memberi contoh Sayidatina Khadijah yang menjadi sumber kekuatan dan sokongan kepada Rasulullah SAW ketika menerima wahyu pertama, manakala Sayidatina Asma’ pula memainkan peranan penting dalam membantu perjalanan hijrah Baginda ke Madinah.
“Dalam setiap episod penting sejarah Islam, wanita tidak pernah tercicir. Sumbangan wanita amat besar dalam keluarga, perjuangan, ekonomi, politik dan pembinaan negara,” katanya. – BH Online

