Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara digesa memperkukuhkan pelaksanaan langkah perancangan dan penjimatan tenaga pada peringkat tempatan dengan segera. 

Perkara berkenaan ditekankan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT).

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, berkata ia selaras arahan Kerajaan Persekutuan untuk menangani cabaran krisis tenaga global yang kian meruncing.

Sebagai agensi bertanggungjawab menyelaraskan pentadbiran PBT, beliau berkata, pihaknya komited memastikan semua 156 PBT mengambil langkah proaktif dan terancang bagi mengoptimumkan penggunaan tenaga di bangunan, segala fasiliti dan operasi harian mereka.

“Kerajaan MADANI sentiasa memimpin dengan teladan dan memastikan kecemerlangan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat tidak boleh dikompromi.

“PBT perlu memastikan operasi harian dan urusan di kaunter tetap berjalan lancar serta efisien bagi memenuhi keperluan rakyat.

“Langkah penjimatan tenaga bukan saja mengurangkan kos operasi kerajaan, malah menyumbang kepada kelestarian alam sekitar dan matlamat pembangunan rendah karbon negara,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, Kor Ming berkata, antara langkah utama penjimatan tenaga disyorkan kepada PBT ialah penetapan suhu penyaman udara minimum pada 24 darjah Celsius di semua bangunan dan pejabat PBT.

Selain itu, pelaksanaan dasar Bekerja Dari Rumah (BDR) secara berperingkat dan terpilih bermula 15 April ini bagi mengurangkan penggunaan tenaga, termasuk petrol, dan kesesakan lalu lintas.

Seterusnya, amalan penjimatan harian termasuk mematikan lampu, komputer dan segala peralatan elektrik apabila tidak digunakan, serta menggalakkan kakitangan memakai pakaian bersesuaian iklim tropika (seperti batik atau kemeja korporat) untuk mengurangkan kebergantungan pada penyaman udara.

“Turut disyorkan peningkatan penggunaan teknologi hijau seperti pemasangan panel solar fotovolta, lampu LED cekap tenaga, serta sistem pengurusan bangunan pintar di fasiliti PBT.

“Di samping itu, melaksanakan audit tenaga berkala serta perancangan jangka panjang bagi mengenal pasti peluang penjimatan di bangunan, lampu jalan, pasar awam, taman rekreasi dan infrastruktur tempatan.

“Selain lain, mempromosikan kesedaran komuniti melalui kempen setempat supaya penduduk turut mengamalkan penjimatan tenaga di rumah dan premis perniagaan,” katanya.

Kor Ming berkata, KPKT akan mengeluarkan surat edaran melalui JKT kepada semua PBT bagi memastikan pelaksanaan yang seragam dan berkesan.

“Pengawasan akan dilakukan secara berkala bagi mengukur impak penjimatan yang dicapai.

“Penjimatan tenaga pada peringkat PBT adalah sebahagian daripada usaha holistik kerajaan untuk memperkukuhkan ketahanan negara terhadap cabaran global.

“Setiap kilowatt yang dijimatkan menyumbang kepada masa depan lebih hijau dan lestari untuk generasi akan datang,” katanya.-BH Online