Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA: Rakyat perlu mempersiapkan diri untuk berdepan dengan krisis tenaga global susulan kesan berpanjangan perang di Asia Barat ketika ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kerajaan ketika ini berdepan cabaran besar untuk mempersiapkan rakyat.

Beliau berkata, rakyat Malaysia diingatkan untuk tidak mengambil sikap selesa dalam berdepan dengan keadaan sekarang.

Pada masa sama, katanya, kerajaan juga tidak mahu timbul perasaan panik dalam kalangan rakyat.

“Kita belum rasa lagi sebab bekalan April, Mei, dan Jun itu diberitakan cukup. Tapi kalau konflik itu berterusan, kita harus menjangkakan keadaan yang lebih sukar. 

“Jadi cabaran kepada kerajaan, terutama dari segi komunikasi, ialah kita nak mempersiapkan rakyat untuk menerima hakikat, ‘the pain is coming’. 

“Tapi kita tak mahu rakyat panik. Pada masa sama, kita pun tak mahu rakyat complacent (selesa),” katanya. 

Beliau berkata demikian pada Perhimpunan Bulanan KDN, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah; Ketua Setiausaha KDN, Datuk Dr Awang Alik Jeman dan Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay.

Saifuddin berkata, sebagai kerajaan bertanggungjawab, pentadbiran negara meletakkan asas terlebih dahulu dengan sedaya upaya memberikan keutamaan kepada kebajikan rakyat. 

Beliau berkata, ia bagi memastikan rakyat tidak terasa kesan konflik berkenaan seperti kenaikan harga barang atau bekalan terputus.

Selain itu, kerajaan juga perlu memberi tumpuan kepada kestabilan ekonomi negara. 

Justeru, Saifuddin berkata, kerajaan mengambil pendekatan untuk berterus terang kepada rakyat berhubung apa yang berlaku ketika ini termasuk membabitkan isu bekalan dan cabaran kenaikan harga.

Sementara itu, Saifuddin berkata, aspek kebajikan anggota yang bertugas di kawasan sempadan, termasuk keadaan fasiliti yang disifatkan tidak memuaskan, juga diberi perhatian.

Katanya, terdapat kemudahan asas di beberapa lokasi penugasan yang masih berada pada tahap rendah dan perlu diberi penambahbaikan segera.

“Saya tengok sendiri tempat bertugas anggota kita di bawah. Tempat berlindung mereka itu tidak begitu memuaskan.

“Dia punya tempat berlindung itu macam stor burger sahaja. Stor burger lebih cantik.

“Saya minta supaya ada penambahbaikan segera. Biar ada kemudahan yang lebih selesa dan ‘presentable’ untuk mereka,” katanya.

Beliau berkata, usaha penambahbaikan boleh dilaksanakan segera tanpa melibatkan kos besar, terutama bagi kemudahan asas di pos kawalan sempadan.-BH Online