Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Dalam berdepan krisis bekalan minyak global yang turut memberi kesan kepada Malaysia, rakyat disaran memainkan peranan melalui langkah penjimatan mikro sebagai pelengkap kepada dasar kerajaan yang lebih besar.

Langkah mikro yang disarankan termasuklah bekerja dari rumah bagi mengurangkan penggunaan kenderaan, menggunakan pengangkutan awam atau berkongsi kereta (carpool), menetapkan suhu pendingin hawa pejabat kepada 24°C, mengurangkan penggunaan elektrik harian, berbelanja secara berhemah dan mengutamakan produk tempatan serta mengelakkan penganjuran rumah terbuka secara besar-besaran.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, berkata krisis bekalan susulan perang di Asia Barat memberi kesan kepada kira-kira 20 peratus pengeluaran minyak dan gas dunia.

Beliau berkata, situasi itu memberi impak besar kepada ekonomi memandangkan sektor tenaga adalah nadi kepada operasi harian, daripada kilang, pengangkutan awam hingga logistik antarabangsa.

Justeru, jelasnya, kerajaan telah mengambil pendekatan awal dengan menggalakkan perubahan gaya hidup rakyat dan organisasi, antaranya termasuk menangguhkan perbelanjaan tidak penting seperti lawatan kerja dan perjalanan perniagaan, serta mengutamakan mesyuarat secara maya.

Menurutnya, banyak mesyuarat peringkat antarabangsa, termasuk dalam kalangan negara ASEAN, kini dilaksanakan secara dalam talian bagi mengurangkan keperluan perjalanan jauh dan penggunaan bahan api.

“Walaupun tidak menyelesaikan krisis sepenuhnya, langkah mikro dilihat mampu memberi kesan besar jika diamalkan secara meluas.

“Konsep ‘sikit-sikit, lama-lama jadi bukit’ menjadi asas kepada pendekatan ini. Jika seorang individu berjimat, kesannya mungkin kecil, namun apabila ratusan ribu atau jutaan rakyat melakukannya, jumlah penjimatan menjadi signifikan,” katanya dalam satu temubual eksklusif bersama BH baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Amir Hamzah berkata, langkah mikro itu bukan penyelesaian utama, namun ia bertindak sebagai pelengkap kepada dasar kerajaan seperti penyasaran subsidi bahan api melalui inisiatif seperti BUDI95, yang bertujuan mengurangkan ketirisan dan memastikan bantuan sampai kepada golongan yang memerlukan.

Katanya, lebih penting, langkah kecil itu dilihat mampu mengubah cara berfikir masyarakat memandangkan dalam keadaan krisis bekalan minyak global, rakyat tidak lagi boleh mengambil pendekatan sambil lewa terhadap penggunaan tenaga dan perbelanjaan.

Menurutnya, penyesuaian seperti berpakaian lebih sesuai di pejabat tanpa perlu suhu terlalu sejuk, memilih barangan tempatan serta mengawal perbelanjaan harian adalah antara perubahan tingkah laku yang digalakkan.

Beliau berkata, menangani krisis bekalan minyak memerlukan usaha kolektif semua pihak dari kerajaan, sektor swasta sehingga kepada rakyat.

“Walaupun langkah mikro kelihatan kecil, kesannya mampu membantu mengurangkan beban negara serta memastikan sumber yang ada digunakan secara lebih lestari.

“Rakyat diseru untuk bersama-sama berganding bahu, mengamalkan penjimatan dan menyesuaikan gaya hidup demi menghadapi cabaran semasa,” katanya.-BH Online