KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan memperkenal inisiatif Menu Kasih Siswa dalam masa terdekat sebagai usaha membantu pelajar mendapatkan makanan pada harga berpatutan.
Menterinya, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, berkata inisiatif itu selaras pendekatan kebajikan yang dilaksanakan di kebanyakan universiti.
Mengulas lanjut, Zambry menasihatkan pengusaha kafeteria supaya mengambil kira kemampuan pelajar, khususnya mereka yang datang daripada keluarga berpendapatan rendah.
“Terdapat beberapa kategori institusi pengajian tinggi swasta (IPTS), termasuk universiti milik kerajaan negeri dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), yang majoriti pelajarnya terdiri daripada golongan berpendapatan sederhana dan rendah.
“Banyak universiti dalam negara ini mempunyai program kebajikan masing-masing dan kita yakin mereka akan mengambil kira keadaan pelajar dalam menentukan harga makanan,” katanya selepas Majlis Pencapaian dan Halatuju Celik MADANI di Menara Merdeka 118, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Zambry berkata KPT sentiasa memantau kemungkinan kenaikan harga makanan dan minuman di kafeteria kolej institusi pengajian tinggi awam (IPTA) susulan kenaikan harga bahan api akibat konflik di Asia Barat.
Beliau berkata, pihak kementerian sudah mengadakan perbincangan dengan pimpinan pelajar termasuk Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) yang membangkitkan isu berkenaan di beberapa institusi.
“Bagi IPTA, pemantauan dilaksanakan secara berterusan melalui pihak pengurusan universiti khususnya di peringkat Naib Canselor bagi memastikan kebajikan pelajar sentiasa terpelihara.
“Di peringkat universiti awam, kita sentiasa memantau berdasarkan pemerhatian yang dibuat oleh pihak universiti.
“Bagi universiti swasta pula, kita sudah memaklumkan kepada mereka supaya mengambil kira keadaan semasa dan menimbang untuk tidak menaikkan harga makanan,” katanya.
Mengulas tindakan terhadap pengusaha atau institusi yang berdegil menaikkan harga, beliau berkata kementerian akan terus mengadakan perbincangan dua hala dan menyalurkan maklum balas kepada pihak terbabit.
“Jika mereka tidak dapat bekerjasama, mereka juga memahami bahawa perkara ini melibatkan kebajikan pelajar dan kita akan memastikan semua pihak mengambil tanggungjawab bersama,” katanya.-BH Online
