MARANG: Kerajaan mengekalkan kuota 90 peratus Bumiputera dalam kemasukan ke Program Matrikulasi sebagai usaha memastikan akses pendidikan lebih adil dan inklusif buat seluruh pelajar di negara ini, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, keputusan itu selari dengan prinsip pendemokrasian pendidikan yang memberi peluang kepada semua lapisan masyarakat, khususnya golongan luar bandar.
Beliau berkata, dasar pendidikan tidak boleh hanya tertumpu kepada kelompok elit kerana ia akan menyebabkan jurang pendidikan terus melebar.null
“Kalau kita hanya tumpu kepada sekolah terbaik dan golongan elit, majoriti anak-anak dari keluarga petani, nelayan dan pekebun akan terus ketinggalan.
“Justeru, projek ini walaupun bermula dengan RM27 juta iaitu projek segera, tetapi bila siap projek ini besar. Jadi kalau kita boleh segerakan, kalau bila lengkap, konsepnya konsep moden,” katanya berucap pada Majlis Pecah Tanah Kolej Matrikulasi Terengganu di Bukit Payong, di sini, hari ini.
Turut hadir, Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh dan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar.
Dalam masa sama, Anwar menegaskan pelajar cemerlang tetap diberi pengiktirafan apabila kerajaan memutuskan semua pelajar yang memperoleh keputusan 10A seramai 6,717 dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan ditawarkan tempat secara automatik ke Program Matrikulasi atau laluan setara.
Menurutnya, langkah itu bertujuan mengimbangi antara kecemerlangan akademik dan keadilan sosial dalam sistem pendidikan negara.
Terdahulu, beliau mengumumkan pembinaan Kolej Matrikulasi Terengganu yang pertama di negeri ini akan disegerakan bagi menampung permintaan tinggi pelajar tempatan.
Projek dengan peruntukan awal RM27 juta itu dijangka mampu menampung sehingga 3,000 pelajar dengan kemudahan lengkap termasuk makmal moden, asrama dan infrastruktur teknologi maklumat (ICT) terkini.
Menurutnya, konsep pembangunan turut mengambil pendekatan moden termasuk elemen ‘vertical school’ yang mengintegrasikan kemudahan pembelajaran dan kediaman dalam satu kawasan.
Untuk rekod sehingga kini, Malaysia mempunyai 12 kolej matrikulasi dan tiga kolej matrikulasi kejuruteraan dengan lebih 500,000 graduan sudah dilahirkan sejak program itu diperkenalkan pada 1999.
Di Terengganu sahaja, jumlah permohonan ke program matrikulasi meningkat ketara daripada 4,485 pada 2021 kepada hampir 7,000 permohonan tahun ini, mencerminkan keperluan mendesak terhadap kemudahan pendidikan prauniversiti di negeri itu.
Kerajaan juga dijangka mengumumkan tawaran kemasukan ke kolej matrikulasi dalam tempoh dua minggu lagi, termasuk tawaran kepada 6,717 pelajar yang memperoleh keputusan 10A ke atas dalam SPM.-BH Online
