KLANG, 12 April – Kerajaan mengulangi pendirian tegas untuk tidak membenarkan sebarang pengimportan sisa elektronik atau e-waste ke negara ini demi melindungi kelestarian alam sekitar serta kesejahteraan rakyat.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata Malaysia kekal berpegang kepada dasar melarang kemasukan sisa berbahaya dari luar negara, yang bukan sahaja berpotensi mencemarkan alam sekitar, malah turut mengancam kesihatan awam sekiranya tidak diurus secara terkawal.
“e-waste kini dimasukkan dalam senarai larangan mutlak, bermakna tiada pengecualian diberikan untuk import. Keutamaan kita adalah menjaga kebersihan dan kelestarian alam sekitar negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran Momogun Society of Sabahan (MSS) di sini.
Hanya sisa domestik dibenarkan untuk diproses. Aktiviti ini tertakluk kepada kawalan ketat JAS dan kilang berlesen, bagi mengelakkan negara menjadi tempat pelupusan sisa asing, sejajar dengan usaha memerangi sindiket haram.
Ketika ini hanya sisa elektronik domestik dibenarkan diproses dan ia tertakluk kepada kawalan ketat Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan kilang berlesen, bagi mengelakkan negara menjadi tempat pelupusan sisa asing, sejajar dengan usaha memerangi sindiket haram.
Datuk Seri Arthur menegaskan, kerajaan tidak mahu Malaysia dikenali sebagai lokasi pelupusan sisa global, meskipun terdapat potensi ekonomi dalam industri pemprosesan e-waste.-Berita RTM
