Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR, 12 April – Dakwaan bahawa Malaysia membekalkan diesel kepada Filipina adalah tidak benar.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, perkara itu telah disahkan oleh PETRONAS susulan tularnya dakwaan di media sosial mengenai penghantaran lebih 300,000 tong diesel ke negara berkenaan.

Menurutnya, syarikat itu tidak mengadakan sebarang perjanjian berkaitan pembekalan diesel dengan mana-mana pihak, termasuk Filipina.

Jelasnya, kekeliruan timbul apabila sebuah syarikat perdagangan komoditi yang beroperasi dari Singapura menggunakan kemudahan penyimpanan di Tanjung Pelepas dan Tanjung Bin untuk aktiviti pemindahan kargo.
“Diesel itu bukan diesel Malaysia, minyak itu bukan kita yang jual. Kerajaan tidak ada menjual apa-apa minyak kepada mana-mana negara termasuklah juga Filipina.

“Rupa-rupanya apa yang telah berlaku, ada sebuah syarikat dia adalah syarikat perdagangan dan dia jual-beli komoditi termasuk diesel, pejabatnya adalah di Singapura serta mempunyai tempat simpanan di Tanjung Pelepas di Tanjung Bin di Johor.

“Kapal itu telah sampai untuk buat transhipment dari kapal ke kapal. Kapal yang berlayar ke Filipina itu dikira datang dari Malaysia. Tapi itu bukan diesel kita, itu bukan diesel Petronas. Itu adalah diesel daripada negara India dan Asia Utara,” katanya demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Raya di Surau Ibadurrahman, PPR Kg. Limau, Kuala Lumpur.

Beliau turut mengingatkan masyarakat agar tidak mudah mempercayai informasi yang tular di media sosial tanpa membuat pengesahan daripada sumber sahih.-Berita RTM