KUALA LUMPUR: Usaha reformasi institusi berkaitan pengasingan peranan peguam negara dan pendakwa raya terus diperkukuh menerusi sesi libat urus bersama pelbagai pihak, termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat sivil.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata mesyuarat kedua Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Parlimen berhubung perkara itu semalam, meneliti pelbagai pandangan, khususnya berkaitan pelantikan, penamatan dan akauntabiliti pendakwa raya.
“Semalam, saya telah pengerusikan mesyuarat kedua JKPK mengenai pengasingan peranan peguam negara dan pendakwa raya bagi meneruskan usaha reformasi institusi yang lebih telus dan berintegriti,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Beliau berkata sesi libat urus akan diteruskan bagi memastikan semua pandangan diambil kira dalam usaha memperkukuh sistem keadilan negara.
“Kerajaan MADANI komited merealisasikan agenda ini kerana ia penting untuk memperkukuh keyakinan rakyat terhadap sistem keadilan negara,” katanya.– BERNAMA
