KUALA LUMPUR: Malaysia turut terkesan dan terpaksa menaikkan harga minyak kerana hampir separuh daripada keperluan harian bahan api negara bergantung kepada import, kata Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Beliau berkata antara faktor lain yang mempengaruhi harga akhir petrol dan diesel ialah bekalan yang rendah, permintaan tinggi, ancaman keselamatan, kenaikan kos penghantaran dan insurans yang berlipat kali ganda.
Kesemua kos terbabit, katanya dimasukkan dalam harga akhir yang dibayar oleh pengimport iaitu ‘actual delivered price’ atau harga sebenar produk minyak yang tiba di Malaysia.
“Kos logistik perkapalan naik tiga kali ganda manakala harga insurans logistik pula melonjak sehingga 16 kali ganda,” katanya pada Taklimat Harian Krisis Tenaga Global di Putrajaya, hari ini.
Amir Hamzah berkata ketika ini, pengeluaran minyak domestik hanya sekitar 350,000 tong sehari, sedangkan penggunaan harian adalah 700,000 tong.
“Oleh itu, Malaysia masih perlu mengimport minyak dari Asia Barat. Kira-kira 60 peratus minyak kita diimport dari Asia Barat dan sekitar 40 peratus keperluan kilang penapis kita bergantung kepada laluan Selat Hormuz.
“Konflik Asia Barat telah menyebabkan kos penghantaran dan insurans logistik naik berlipat ganda.
“Bukan itu sahaja, setiap pembelian turut dikenakan premium yang berganda kerana permintaan yang amat tinggi dan bekalan yang semakin rendah,” katanya.
Berkongsi perkembangan bekalan minyak semasa negara, Amir Hamzah berkata, buat masa ini Malaysia tidak berdepan kekurangan stok RON95 atau diesel.
“Bayangkan semua negara mahukan bekalan minyak di negara mereka cukup sedangkan stok semakin kurang.
“Alhamdulillah bekalan minyak kita lebih kukuh berbanding negara lain.
“PETRONAS dan syarikat-syarikat minyak lain menguruskan sumber negara dengan bertanggungjawab, ini kita dapat lihat melalui stesen-stesen minyak yang terus beroperasi,” katanya yang menyifatkan situasi itu berbeza dengan negara lain dengan ada ratusan stesen minyak terpaksa ditutup kerana kurang bekalan.-BH Online
