KUALA LUMPUR: Malaysia dan Bangladesh menegaskan komitmen bersama dalam memperkukuh kerjasama strategik dalam bidang migrasi pekerja dengan memberi penekanan kepada sistem lebih telus, inklusif dan berintegriti.
Perkara itu dinyatakan ketika kunjungan hormat delegasi Bangladesh yang diketuai Menteri Kebajikan Ekspatriat dan Pekerjaan Luar Negara Bangladesh, Ariful Haque Choudhury bersama Penasihat Perdana Menteri Bangladesh, Mahdi Amin ke atas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Putrajaya, hari ini.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan yang turut menghadiri pertemuan itu menerusi hantaran di Facebook, berkata antara fokus utama perbincangan adalah memastikan proses migrasi yang selamat, teratur dan sah di samping menangani cabaran sedia ada dalam proses pengambilan pekerja.
“Antara perkara penting yang dipersetujui termasuk usaha mempercepatkan pembukaan semula pasaran pekerjaan bagi pekerja Bangladesh berdasarkan keperluan sektor di Malaysia serta memastikan proses pengambilan yang adil, beretika dan telus.
“Langkah ini turut membabitkan pengurangan peranan orang tengah, penurunan kos serta penggunaan agensi pengambilan yang sah dan berkelayakan,” katanya.
Ramanan berkata, Malaysia juga membentangkan inisiatif memperkenalkan sistem pengambilan pekerja berasaskan teknologi dan kecerdasan buatan (AI) bertujuan mengurangkan kebergantungan kepada perantara serta memastikan kos pengambilan ditanggung sepenuhnya oleh majikan selaras dengan prinsip Employer Pays oleh Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO).
Beliau berkata, pihak Bangladesh juga menyatakan sokongan penuh terhadap inisiatif tersebut dan kesediaan untuk bekerjasama dalam pelaksanaannya.
Katanya, perbincangan turut menyentuh isu berkaitan kes undang-undang serta kebimbangan terhadap pemerdagangan manusia dalam pengambilan pekerja.
“Kedua-dua pihak menegaskan kepentingan mematuhi kedaulatan undang-undang, memastikan proses keadilan yang telus serta melindungi reputasi antarabangsa masing-masing.
“Selain itu, kerjasama dalam pembangunan kemahiran, latihan, pensijilan dan perkongsian maklumat turut diberi penekanan bagi memastikan padanan yang lebih baik antara keperluan industri dan tenaga kerja, seterusnya meningkatkan produktiviti,” katanya.
Ramanan berkata, sesi libat urus akan diteruskan secara berkala bagi memastikan segala inisiatif yang dipersetujui dapat dilaksanakan dengan berkesan.
“Kerjasama ini mencerminkan komitmen bersama dalam membina sistem migrasi pekerja yang lebih adil, mampan dan berdaya saing di peringkat global,” katanya. – BERNAMA
